Tragedi Putra Heights: Kerajaan peruntukkan RM40 juta bina semula rumah
- Suara Keadilan
- 17 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Sebanyak RM40 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan kerja bina semula kediaman terjejas susulan kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya yang berlaku pada awal bulan ini.
Menteri Besar Selangor (MB) Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja baik pulih perumahan di sekitar Putra Heights itu akan dilaksanakan oleh Sime Darby sebagai pemaju asal kawasan perumahan tersebut.
Manakala kata Amirudin, kawasan Kampung Sungai Baru pula akan diuruskan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
''Dalam kawasan radius kejadian, Jemaah Menteri telah meluluskan bantuan RM40 juta bagi pembinaan semula dan baik pulih melibatkan 219 unit rumah yang mengalami kerosakan.
''Daripada jumlah itu, sebanyak 81 unit dikagetorikan sebagai musnah sepenuhnya, iaitu kerosakan kepada struktur melebihi 40%.
''Baki 138 unit rumah mengalami kerosakan kepada struktur kurang daripada 40% ataupun mengalami kerosakan skala kecil,'' katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, hari ini.
Menurut Amirudin lagi, dana sebanyak RM40 juta yang akan disalurkan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menetapkan, RM300,000 diperuntukkan bagi membina semula rumah setiap pemilik yang musnah sepenuhnya.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor berkata, bagi rumah yang mengalami kerosakan di bawah 40%, sebanyak RM150,000 telah ditetapkan sebagai kos siling pembaikan semula.
''Seterusnya, sebanyak 57 unit rumah yang tidak mengalami kerosakan kepada struktur tetapi memerlukan pembaikan berskala kecil telah ditetapkan sebanyak RM30,000 sebagai siling kos bagi setiap pemilik.
''Penduduk di rumah-rumah yang mengalami kerosakan berskala kecil boleh mula menyampaikan invois dan tuntutan sama ada kepada Persatuan Penduduk ataupun secara terus kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bermula 6 Mei 2025 sehingga 28 Oktober 2025.
''Urusan pembinaan semula pula akan diketuai oleh Jawatankuasa Pemulihan Putra Heights terutamanya dari segi kos dan garis masa kerja pembinaan,'' ujarnya lagi.
Commentaires