Tragedi Putra Heights: JPJ buka kaunter bergerak ganti dokumen pengangkutan
- Suara Keadilan
- Apr 3
- 1 min read

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini mengambil langkah meringankan beban mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya dengan membuka kaunter bergerak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, perkhidmatan tersebut disediakan selama dua hari bermula hari ini bagi membolehkan mangsa menggantikan sebarang dokumen berkaitan pengangkutan yang musnah atau hilang akibat insiden tersebut tanpa memerlukan laporan polis, dan proses penggantian dokumen akan disiapkan dengan segera.
"Mangsa hanya perlu memberikan nama dan nombor kad pengenalan untuk mencetak semula dokumen tersebut secara percuma... jika ada keperluan, perkhidmatan ini akan dilanjutkan," katanya selepas melawat mangsa di PPS itu.
Antara dokumen pengangkutan yang boleh diganti secara percuma adalah Lesen Memandu, Lesen Kenderaan Motor dan Sijil Pemilikan Kenderaan.
Selain itu, katanya, kerajaan juga menyediakan perkhidmatan Rapid KL On Demand (ROD) yang beroperasi di PPS Masjid Putra Heights sebagai van perantara percuma untuk membantu ketua keluarga kembali ke rumah mereka untuk mengambil barangan peribadi dengan kelulusan pihak berkuasa.
"Pihak Prasarana menyediakan enam van untuk membantu pergerakan mangsa apabila mereka dibenarkan pulang untuk mengambil barang.
"Van ini juga boleh digunakan untuk pergi ke stesen LRT atau tempat lain untuk membeli keperluan," tambahnya.
Semalam berdasarkan laporan media, Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan mengesahkan seramai 364 mangsa daripada 74 keluarga terlibat dalam kebakaran itu, yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.
留言