Malaysia Timur atau mengikut keluasannya boleh disebut sebagai Tanah Besar Malaysia perlu dimajukan kerana telah ketinggalan begitu jauh berbanding Semenanjung.
Bagi Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, cadangan parti-parti kerajaan supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada ahli politik dari Malaysia Timur baru-baru ini adalah dalam konteks untuk mendapatkan lebih banyak peruntukan dan mewujudkan pembangunan.
Bagaimanapun, katanya, adalah lebih baik pemimpin Malaysia berfikiran di luar kerangka jawatan politik dalam memajukan seluruh penduduk tanpa mengira lokasi.
"Kalau diperlukan seorang Timbalan Perdana Menteri dari Malaysia Timur itu cantik. Tetapi jauh lebih cantik kalau semua pimpinan di Malaysia ini dapat memikirkan untuk seluruh Malaysia, tanpa melihat kawasan tertentu.
"Selama ini bila dirujuk Malaysia, pemikiran kita hanya Semenanjung. Malah dulu masa saya bersekolah di Semenanjung ditanya apa perasaan berada di Malaysia? Saya cakap saya dilahirkan di Malaysia, saya orang Malaysia dari Sabah.
"Kenapa tidak memikirkan Sabah itu sebahagian Malaysia? Sedangkan Sabah dan Sarawak itu Tanah Besar Malaysia (dari segi keluasan), pemikiran itu perlu diubah.
"Oleh kerana pemikiran itu belum diubah, jadi seelok-eloknya TPM dari Malaysia Timur," kata Wilfred dalam temubual bersama Suara Keadilan baru-baru ini.
Ahli Parlimen Tuaran itu menambah, Malaysia Timur pada dasarnya mempunyai potensi besar untuk menjadi tapak kemakmuran ekonomi negara masa hadapan memandang kekayaan hasil mineral dan keluasan muka bumi yang belum diteroka.
Beliau membandingkan usaha negara jiran meneroka pulau Borneo dengan memindahkan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan. Hal yang sama, katanya, mungkin boleh berlaku di Malaysia.
"Di Indonesia di mana boleh difikir ibu negara berpindah dari Jakarta ke Kalimantan Timur? Tidak terbayang. Tetapi Jokowi buat. Pada suatu hari nanti barang kali ibu negara boleh berpindah dari Kuala Lumpur ke Sabah, Sarawak. Hal ini mungkin boleh berlaku.
"Sebab itu saya katakan bagi Malaysia, untuk melonjak dari segi ekonomi lebih besar lihatlah potensi di Sabah dan Sarawak. Potensi amat besar tetapi kita tidak dapat gembeling kerana kekangan.
"Antara kekangan besar adalah dari segi logistik dan pengangkutan. Bayangkan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor dia punya dermaga panjang 5 kilometer, kren ada 54. Pelaburan Kota Kinabalu hanya 500 meter dan kren 4 sahaja.
"Mana ada perkapalan antarabangsa mahu singgah ambil barang di Kota Kinabalu? Satu pun tiada yang berdaftar di sana.
"Jadi kita perlu panjangkan dermaga supaya kurangkan kos berlabuh. Ini bererti kita perlu membina pelabuhan kelas dunia di Sabah seperti Pelabuhan Kelang, Tanjung Pelepas dan lain-lain," ujarnya.
Sehubungan itu, Wilfred mengharapkan Sabah akan menjadi laluan perkapalan dunia terbaharu pada masa hadapan dengan berpindahnya ibu negara Indonesia.
Seandainya Malaysia tidak mengambil peluang memajukan pelabuhan di Sabah, kata beliau, maka Indonesia akan membuka pelabuhan bertaraf dunia di Kalimantan Timur atau Sulawesi.
Oleh itu, tegas beliau, Sabah tidak boleh kekal dengan keadaan sekarang menjadi laluan pelarian konflik bersenjata atau aktiviti keganasan dari selatan Filipina. Kemajuan Sabah juga akan membuka kepada potensi ditingkatkan keselamatan perairannya.
"Kalau kita buat itu (pelabuhan), bayangkan, hari ini kapal lalu di laut China Selatan, lepas itu lalu di Singapura dan Selat Melaka.
"Akan datang bayangkan di Lahad Datu (pelabuhan Sabah), kapal dari Jepun, Korea, China lalu terus ke Indonesia. Itu jadi laluan perkapalan baru dan Sabah akan jadi Singapura (kedua) dari segi maritim. Itu untuk keuntungan Malaysia juga.
"Jadi sekarang Sabah adalah hotspot banyak kumpulan pengganas yang singgah untuk ke Indonesia dan sebagainya. Ini perlu kita selesaikan. Ambil perspektif Sabah kerana kekayaan masa depan di sana. Bila sudah maju, cukai pun banyak, Malaysia jadi makmur," katanya lagi.
Comments