Tolak Sisa Kartel: Ginie Lim mangsa kempen fitnah
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Calon Exco Wanita Pusat, Ginie Lim, kecewa dengan pihak tertentu yang menggunakan kempen fitnah ke atas dirinya dalam kempen Pemilihan KEADILAN 2025.
Menurut Ginie, beliau ditohmah dengan kandungan yang memaparkan gambar beliau berserta slogan 'Tolak Sisa Kartel', sedangkan beliau tetap setia dengan perjuangan KEADILAN dan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kandungan yang dimuatnaik adalah gambar saya dengan slogan Tolak Sisa Kartel. Tuduhan saya boikot PRN dan PRU, serta menghasut ahli (KEADILAN) sokong PN adalah tidak benar sama sekali.

"Saya tetap setia dengan perjuangan KEADILAN dan sokong pimpinan Anwar Ibrahim dalam apa jua keadaan.
"Serangan peribadi ini jelas adalah kempen yang tidak berhemah dan beretika yang dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan melanggari lunas demokrasi parti. Ianya juga bersifat provokasi supaya saya membalas tuduhan yang dilemparkan oleh individu yang tidak diketahui identitinya.
"Saya mencabar, sesiapa yang melemparkan tuduhan-tuduhan itu, menggunakan nama yang sebenar sekiranya tuduhan itu benar dan sahih, bukannya bersembunyi di belakang nama samaran atau akaun palsu untuk membuat tuduhan liar yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Ginie turut kesal kerana kandungan berknenaan telah dimuat naik di beberapa akaun Facebook pihak pihak yang bersaing merebut jawatan Timbalan Presiden KEADILAN.
Namun katanya, beliau tidak akan membuat aduan ke Lembaga Disiplin parti kerana tidak dapat mengenalpasti sama ada anggota parti terlibat.
Sebaliknya beliau akan membuat laporan polis untuk membersihkan namanya.
"Saya terpaksa membuat laporan polis dan MCMC untuk menjejak individu yang guna akaun palsu sekiranya kandungan ini masih tidak dipadamkan dalam masa 24 jam.
"Kempen berbaki kurang 24 jam untuk terus menyantuni perwakilan baik yang menang mahupun yang kalah. Semoga calon-calon terus berkempen secara sihat bagi membuktikan kepada masyarakat umum yang KEADILAN terbentuk di atas landasan progresif dan demokrasi, bukan ugutan dan fitnah, yang bakal melahirkan pemimpin yang matang dan berwawasan bagi menyokong kepimpinan Perdana Menteri," katanya lagi.