Tolak darurat: Derhaka kepada Agong atau kerajaan PN?



Tuduhan kononnya Pakatan Harapan (PH) atau sesiapa yang menolak perisytiharan darurat bermakna derhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong menjadi polemik yang hangat diperbincangkan.


Bagi pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari, pihak-pihak yang menuduh pembangkang atau khususnya Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim menderhaka kerana ingin membawa kes perisytiharan darurat tersebut ke mahkamah sebenarnya tidak begitu faham apa yang mereka perdebatkan.


Menurut Dr Aziz, Ordinan Darurat yang dibuat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) berikutan perisytiharan berkenaan, hakikatnya telah pun mengambilalih kuasa Agong.


"Saya terpanggil untuk mengulas apabila terpandang Seksyen 14 (1) (a) Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu ini yang mengatakan bahawa Persidangan Parlimen 14 (1) bagi tempoh darurat berkuat kuasa, (iaitu) subsyeksen 1(a) peruntukan berhubung memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak (lagi) mempunyai kesan.


"Jadi dari apa yang kita baca, jelas Perlembagaan telah pun dilumpuhkan. Kalau kita tengok Perkara 55 di bawah tajuk kecil, bahawa Agong diberi kuasa untuk memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen.


"Sebagai contoh Perkara 55 (1) "Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan 6 bulan berlalu antara persidangan yang akhir, dalam satu penggal dalam tarikh yang ditetapkan, untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya."


"Isu berbangkit ialah apabila Ordinan Darurat yang dibuat oleh kerajaan (PN) atas nama Agong, oleh kerana Agong adalah Raja Berperlembagaan jadi undang-undang ini dibuat oleh kerajaan yang memerintah.


"Maka dari apa yang saya baca, jelas ia menggantung dan melumpuhkan peruntukan yang memperuntukkan kuasa (kepada) Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam sesi siaran langsung di Facebook rasmi beliau malam tadi.


Menurut Ketua Pembangkang DUN Perak itu lagi, kuasa besar yang dimiliki Yang di-Pertuan Agong sebelum ini telah pun dikurangkan dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan tahun 1983.


Pindaan itu membuang kuasa Agong memberi perkenan kepada Rang Undang-undang baharu atau pindaan Rang Undang-undang. Antara yang disentuh dalam pindaan itu termasuklah Perkara 150 yang membabitkan darurat.


"Fenomena ini berlaku pada 1983 ketika krisis Perlembagaan apabila pentadbiran Dr Mahathir ketika itu meminda Perkara 66 dan 150.


"Perkara 66 memperuntukan perkenan di raja, iaitu Agong dan 150 peruntukan yang memperuntukkan kuasa Agong mengisytihar darurat.


"Sekali imbas 66 tak ada apa seperti 55. Ia memperuntukkan sekadar Agong diberi kuasa. Tetapi kalau ingat balik tahun 1983, pertembungan antara Mahathir dan Raja-raja. Yang di-Pertuan Agong enggan tandatangan pindaan Perlembagaan dan menyerahkannya kepada Raja-raja.


"Saya bangkitkan di sini ialah jelas Ordinan Darurat, Kuasa-kuasa Perlu 2021 ini mengambil kuasa Agong, melumpuhkan kuasa Agong dalam tempoh darurat.


"Oleh kerana Perlembagaan, Perkara 38 (4) memperuntukan apa sahaja undang-undang termasuk pindaan melibatkan kuasa, kedudukan, kehormatan Raja-raja hendaklah dibawa kepada Majlis Raja-raja, krisis 1983 berlaku kerana ketika itu Mahathir meminda Perlembagaan tanpa perkenan Raja-raja Melayu.


"Jadi sekarang seingat saya tiada persetujuan Raja raja tentang penggantungan atau perlumpuhan kuasa Agong memanggil atau memprorog Parlimen dan sebagainya. Jadi saya fikir ramai tak perasan hal ini.


"Perisytiharan darurat memang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi undang-undang yang dibuat atas nama Agong itu telah pun melumpuhkan kuasa Agong," katanya lagi.


Justeru, Dr Aziz mempersoalkan apakah penentangan rakyat terhadap proklamasi darurat selepas ini boleh disebut sebagai menentang titah Agong.


"Selama ini pihak yang mempertikaikan darurat dianggap derhaka kepada Agong. Sekarang ini bagaimana dengan pentadbiran PN yang jelas melumpuhkan kuasa Agong untuk memanggil, memprorog Parlimen dan sebagainya?" sinis Dr Aziz.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio