Tolak agenda Mahathir: PH - BN berpeluang akhiri politik perkauman
- Redzuan Shamsudin

- May 12, 2023
- 3 min read

Proklamasi Orang Melayu yang diperjuangkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dan beberapa parti pembangkang lain seharusnya ditolak secara total oleh orang Melayu.
Menurut Pengarah Komunikasi Umno Malasia, Datuk Lokman Noor Adam, proklamasi hanya menjadi arus perdana setelah Tun Mahathir berada dalam keadaan dilema dan kehilangan sokongan
Katanya, hal itu boleh dilihat dalam sejarah politik Tun yang membawa agenda Melayu apabila menghadapi masalah sokongan politik. Sedangkan dalam keadaan biasa beliau tidak memperjuangkan tulisan jawi, ekuiti Melayu dan sebagainya
"Sentimen perkauman yang dimainkan Tun Mahathir akan digunakan setiap kali beliau dalam dilema. Sebenarnya orang Melayu tidak berada dalam dilema, yang dalam dilema ialah Dr Mahathir.
"Bila mana dia gagal dapat sokongan, contohnya pada 1969 dia kalah pilihanraya dia menghasilkan buku Malay Dilemma. Begitu juga 1999 ketika belaku reformasi. Ketika itu gambar mata lebam Datuk Seri Anwar telah mendapat sokongan orang Melayu dan pada ketika itu sekali lagi Tun M berada dalam dilema. Ketika itulah beliau bertanggungjawab merosakkan kekuatan orang Melayu bila mana beliau melakukan garymendering.
Beliau telah membuat persempadanan semula kawasan Melayu, contoh di Shah Alam. Ketika itu 86% pengundi Melayu. Selepas dia mendapati orang Melayu tidak menyokong dia maka dia telah membuat pesempadanan semula. Di Kelantan, Terengganu tidak ada pertambahan kerusi tetapi di kawasan yang bukan Melayu dia tambah kerusi," katanya dalam forum atas talian Sumberkini, malam tadi.
Lokman berkata perjuangan Tun Mahathir tidak perlu dilagi disambut oleh orang Melayu kerana telah jelas sikap 'lidah bercabang' pemimpin itu.
Beliau membawakan contoh apabila Tun mahu mengalahkan BN menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 lalu beliau sanggup bersama DAP yang sejak puluhan tahun dikecamnya kerana rasis. Begitu juga sekarang, katanya, apabila Tun sanggup bersama Pas yang pernah dikecamnya selama berdekad dekad.
"Kita lihat selepas krisis dia dengan Pak Lah dan Najib. Kita lihat dia kalau dulu mengatakan DAP rasis, anti Islam tiba tiba sebelum PRU 14 dia muncul sepentas bersama DAP. Pada ketika itu dia menghalalkan kerjasama dengan DAP," katanya.
Bagaimanapun Lokman sedih menghadapi sikap terbaharu Pas yang pernah menjadi sekutu Umno selama 3 tahun lalu kerana kali ini parti itu termakan jerat yang dipasang Tun Mahathir.
Katanya, dengan menyertai proklamasi, Pas telah mengakui parti itu kini memperjuangkan nasionalisme Melayu yang sejak dahulu dikecam dan dipersalahkan kepada Umno.
"Kita kenal Pas sejak dahulu mengecam Umno kerana membicarakan soal Melayu. Dia tak kecam bila bicara Islam, bila soal Melayu mereka sinonim menyatakan Umno parti asabiyah. Hari ini Pas telah tersungkur melutut di hadapan Tun Mahathir dan hari ini cuba menjadi parti mengamalkan asabiyah.
"Bagi saya, saya harap rakyat Malaysia jangan terpedaya dengan agenda Tun M ini dan saya harap rakyat boleh lihat betapa hipokritnya Pas.
"Bila Umno memperjuangkan orang Melayu, bahasa Melayu, pejuang raja Melayu kita lihat mereka mengecam kita tetapi hari ini jelas mereka jauh lebih asabiyah dan double standard dalam perjuangan," katanya.
Namun, kata beliau, tertubuhnya Kerajaan Perpaduan telah menjadi satu trend politik baharu di Malaysia.
Tegas Lokman, buat pertama kali parti yang memperolehi sokongan terbesar orang Melayu, Umno boleh bersama Pakatan Harapan yang mendapat sokongan lebih 90% bukan Melayu.
Beliau melihat hal itu peluang untuk rakyat menghentikan terus politik perkauman buat selama lamanya apabila kedua dua blok politik berkenaan telah bersatu.
"Satu kelebihan bila mana BN bersama PH. Suka tak suka Umno masih lagi sebuah parti politik yang mempunyai keahlian di kalangan bumiputera paling ramai. PH merupakan sebuah parti yang mendapat sokongan bukan Melayu 95%.
"Satu parti politik Melayu dan satu bukan Melayu hari ini bersatu. Kelebihannya kita boleh berhenti dari mengamalkan politik perkauman yang kita amalkan berpuluh tahun yang ditanam oleh Tun Mahathir
"Saya yakin Kerajaan Perpaduan ini akan jadi lebih kuat. Saya yakin generasi muda yang boleh berfikir dengan waras (menjelang PRN)," katanya lagi.




Comments