top of page

Tok Min seru anak perantauan pulang tunai tanggungjawab

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
Jul 31
2 min read
Pengundi DUN Linggi menunjukkan isyarat no 3 pada kertas undi memenangkan Tok Min
Pengundi DUN Linggi menunjukkan isyarat no 3 pada kertas undi memenangkan Tok Min

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N32 DUN Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun menyeru anak-anak perantauan Negeri Sembilan supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada hari pengundian nanti.


Beliau yang lebih mesra dipanggil sebagai Tok Min menjangkakan anak-anak Negeri Sembilan dan DUN Linggi yang berada di luar kawasan akan mula pulang menjelang hari pengundian dan berharap mereka dapat keluar mengundi serta memberikan sokongan kepada calon Harapan.


"Esok hari terakhir kempen dan saya rasa anak-anak perantauan akan mula balik dari pelbagai tempat.


"Saya berharap mereka dapat keluar mengundi kerana mengundi adalah kewajipan kita sebagai rakyat," katanya ketika ditemui pada program Munajat Perdana di Dewan Orang Ramai Linggi, semalam


Dalam pada itu, Aminuddin berkata kehadiran orang Melayu dan penyokong pelbagai kaum pada program berkenaan membuktikan Pakatan Harapan terus mendapat sokongan daripada masyarakat berbilang latar belakang di kawasan tersebut.


Katanya, kehadiran masyarakat bukan Melayu termasuk kaum Cina dan India bersama jentera kempen Harapan menunjukkan semangat kebersamaan serta keyakinan rakyat terhadap perjuangan yang dibawa parti itu.

Pengundi Cina berjanji akan mengundi Tok Min
Pengundi Cina berjanji akan mengundi Tok Min

"Apa yang menarik, rakyat bukan Islam iaitu masyarakat India dan Cina juga bersama kita pada hari ini.


"Ini membuktikan bahawa kita berada di landasan yang betul dan mempunyai kemampuan yang baik," katanya.


Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa sokongan rakyat terhadap Harapan di DUN Linggi akan diterjemahkan melalui keputusan undi pada pilihan raya kali ini.


"Insya-Allah, dengan sokongan rakyat dan usaha semua jentera, kita yakin dapat mencapai kemenangan di DUN Linggi," katanya lagi.


Terdahulu, kira-kira 1,000 penduduk tempatan hadir ke program Munajat Perdana di Dewan Orang Ramai Linggi yang dimulai dengan solat maghrib berjemaah dan tazkirah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page