Tohmah menteri kes Zara: Wanita KEADILAN buat laporan polis
- Suara Keadilan

- Aug 8
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN tampil membuat laporan polis serentak di seluruh negara pada Khamis berhubung penyebaran video dan penulisan berunsur fitnah berkaitan kes kematian pelajar Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di sebuah sekolah berasrama di Papar, Sabah baru-baru ini.
Ahli Exco Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat, Nur Jafni Abdullah telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching terhadap pemilik akaun TikTok “Suara Rakyat Sabah” yang didakwa menyebarkan kandungan berniat jahat serta tidak berasas terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
"Kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, namun ia bukan hak mutlak.
"Fitnah terhadap pemimpin negara bukan sahaja merupakan serangan peribadi, tetapi turut menjejaskan kredibiliti institusi kerajaan dan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negara," tegas Nur Jafni dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang kritikan yang disuarakan mesti berpaksikan fakta dan bukan bersifat tohmahan yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat.
"Usaha kerajaan memperkukuh sistem pendidikan negara tidak seharusnya diganggu oleh agenda politik sempit atau tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan.
"Media sosial tidak wajar dijadikan medan untuk menyebarkan kebencian atau berita palsu tanpa pertanggungjawaban. Setiap individu perlu sedar bahawa penyebaran maklumat palsu adalah satu kesalahan serius di sisi undang-undang," tambahnya lagi.
Selain di Sarawak, laporan sama turut dibuat oleh Wanita KEADILAN di Perlis, Terengganu, Selangor dan Kelantan.
Menurut sumber, lebih banyak laporan polis dijangka akan dibuat hari ini bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap pemilik akaun media sosial tersebut.









Comments