Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tempoh hari yang tegas menolak sebarang manipulasi dan tunggangan agama oleh pihak tidak bertanggungjawab perlu dihormati semua pihak.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Kemaman, Ahmad Nadhir Yop, terutama pembangkang dan laskar siber mereka selepas ini, tidak perlulah lagi memperpanjangkan isu keputusan Mahkamah Persekutuan dalam membatalkan 16 seksyen enakmen jenayah syariah Kelantan pada minggu lalu.
"Pihak KEADILAN Kemaman menjunjung kasih ke atas titah Tuanku yang sangat peka terhadap perkembangan semasa terutama berkenaan dengan polemik kes pembatalan 16 perkara dalam enakmen syariah Kelantan, dan Sultan Selangor menunjukkan bahawa kedudukan agama Islam dan Mahkamah Syariah tidak pernah tergugat serta akan terus diperkasakan.
"KEADILAN Kemaman juga meminta semua pihak menjunjung tinggi titah Sultan Selangor ini demi memastikan tidak lagi berlaku sebarang manipulasi atau pun tunggangan agama dari mana mana pihak, baik dari orang politik atau yang mempunyai kepentingan peribadi," kata Ahmad Nadhir.
Kelmarin Sultan Selangor bertitah agar umat Islam di negara ini berhenti bersengketa di atas sebab agama dan menyerahkan urusan tersebut kepada jawatankuasa penasihat perundangan yang diberi mandat oleh Majlis Raja raja Melayu untuk menyelesaikannya.
"Umat Islam sedia maklum bahawa isu-isu agama sering dipolitikkan sejak beberapa dekad yang lalu malah semakin serius sejak kebelakangan ini.
"Akibatnya berlaku permusuhan, salah faham serta kekeliruan di kalangan umat Islam.
"Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama. Telah tiba masanya umat Islam semua bersatu demi kekuatan umat Islam.
"Apabila umat Islam kuat dan bersatu-padu, masyarakat bukan agama Islam akan menghormati umat Islam," titah Sultan Selangor dipetik Facebook Selangor Royal Office.
Baginda bertitah demikian sempena mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) ke-71 yang dipengerusikan oleh baginda di Putrajaya Khamis lalu.
Comments