Titah adendum: PM tiada kuasa laksana, Lembaga Pengampunan berkuasa
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Desakan segelintir pihak terhadap Perdana Menteri agar beliau melaksanakan titah adendum mengenai penahanan rumah bekas Perdana Menteri Najib Razak adalah tidak tepat dan bersalahan dari segi undang-undang, demikian kata seorang Ahli Dewan Negara.
Senator Abun Sui Anyit (gambar) berkata, Datuk Seri Anwar tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan sebarang adendum berkaitan pengampunan atau perubahan bentuk hukuman banduan, khususnya di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
"Desakan Ketua-Ketua UMNO Bahagian supaya Perdana Menteri melaksanakan adendum tersebut adalah tidak tepat dari segi undang-undang dan mencerminkan salah faham yang serius terhadap struktur Perlembagaan Persekutuan.
"Kenyataan sedemikian bukan sahaja boleh mengelirukan rakyat, malah berisiko menjejaskan integriti institusi kehakiman dan perundangan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Abun yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak berkata, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa memberikan pengampunan, menunda pelaksanaan atau meringankan hukuman adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong, setelah mendapat nasihat daripada Lembaga Pengampunan.
Katanya lembaga itu terdiri daripada Peguam Negara, Menteri Wilayah Persekutuan dan tiga ahli dilantik dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Pengerusi.
"Perdana Menteri bukan ahli lembaga ini dan tidak mempunyai sebarang kuasa perundangan untuk mengarahkan pelaksanaan mana-mana keputusan lembaga, termasuk adendum yang merujuk kepada hukuman terhadap Najib Tun Razak untuk menjalani tahanan rumah bagi baki tempoh hukumannya," ujarnya.
Justeru itu, beliau berharap agar pihak terbabit tidak meletakkan Perdana Menteri dalam situasi sukar kerana itu bukan bidang kuasa beliau.
"Saya berharap Ketua-Ketua Bahagian UMNO dan mana-mana pihak parti politik supaya mendapatkan nasihat perundangan yang betul sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan proses pengampunan atau pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan.
"Saya juga berharap semua pihak untuk menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak mempolitikkan proses yang telah ditetapkan dengan jelas oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Terdahulu laporan media menyebut Anwar menyatakan kesediaannya terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan parti itu bagi membincangkan sebarang tindakan yang perlu berhubung Titah Adendum.
Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, beliau tidak boleh mendahului mahkamah dalam hal tersebut.
Dalam pertemuan di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam, seramai 160 ketua UMNO bahagian sebulat suara mendesak pelaksanaan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang dikeluarkan 4 Januari lalu.
Ia bagi membolehkan bekas Perdana Menteri Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan dalam rumah.
Comentários