top of page

Titah Adendum: Jangan kaitkan dengan campur tangan politik - AMK Wilayah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 23, 2025
  • 2 min read

Oleh: Akmal Manaf


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan menggesa semua pihak agar mengamalkan kewarasan politik dan kematangan dalam berwacana berhubung isu Titah Adendum Datuk Seri Najib Razak.


Ketua AMK Wilayah Persekutuan, Asheeq Ali Sethi Alivi (gambar) berkata, proses undang-undang yang sedang berjalan harus dihormati, pada masa sama membenarkan institusi kehakiman menjalankan peranannya secara bebas demi memelihara keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.


"Dalam masa yang sama, AMK Wilayah Persekutuan berpandangan semua pimpinan politik, termasuk dalam Kerajaan MADANI, wajar menzahirkan sikap yang lebih beradab dalam memberi respons terhadap keputusan Mahkamah.


"Keputusan tersebut memadai diterima dengan penuh hormat dan tertib, tanpa sebarang reaksi yang boleh disalah tafsir atau menjejaskan keharmonian politik demi kestabilan negara," katanya dalam satu kenyataan.


Asheeq berkata, pihaknya turut mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh susulan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.


Beliau berkata, kenyataan tersebut wajar diperbetulkan kerana ia berpotensi menimbulkan persepsi yang tidak tepat terhadap institusi kehakiman serta Kerajaan MADANI.


Katanya, keputusan Mahkamah semalam adalah hasil proses perundangan yang sah, dilaksanakan mengikut lunas undang-undang oleh Hakim selepas meneliti hujah kedua-dua pihak.


"Ia bukan keputusan politik dan bukan juga cerminan campur tangan mana-mana pihak eksekutif.


"Justeru, adalah tidak wajar untuk mengaitkan keputusan ini dengan dakwaan bahawa kerajaan yang dibentuk atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertindak menolak atau menafikan adendum berkenaan.


"Dalam konteks ini, perlu diingat bahawa Datuk Seri Najib masih mempunyai ruang perundangan untuk meneruskan proses rayuan di peringkat seterusnya.


"Oleh itu, sebarang kesimpulan awal atau tuduhan yang bersifat spekulatif hanya akan mengeruhkan keadaan dan mengelirukan rakyat," ujarnya lagi.


Selamam Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyatakan rasa kecewa selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.


Beliau meluahkan kekesalan kerana bagi beliau Titah Adendum itu dikatakan tidak sah selepas disorokkan begitu lama, sedangkan pihak Istana Pahang telah mengeluarkan kenyataan bahawa Titah Adendum berkenaan dikeluarkan oleh Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong (YDPA).


Bagaimanapun Akmal tidak punla menyatakan pihak mana yang menyorokkan titah berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page