Calon KEADILAN DUN Lingga, Abang Abdul Kassim Abang Bujang berjanji akan memperjuangkan isu penjanaan ekonomi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak muda di kawasan berkenaan.
Katanya, banyak tarikan pelancongan di DUN Lingga yang tidak dipromosikan secara agreasif oleh Kerajaan Negeri sehingga tidak memberi sebarang impak kepada ekonomi penduduk tempatan
"Industri pelancongan harus diberikan tumpuan demi menjana peluang pekerjaan dan pendapatan usahawan kecil tempatan.
"Antara tarikan pelancong yang boleh diusahakan ialah ‘benak’, iaitu fenomena air pasang besar untuk dijadikan tarikan pelancong dan sekaligus berupaya menjana ekonomi setempat.
"Apabila tarikan pelancong diperkembangkan, ia juga akan menjana pendapatan bagi golongan penjaja, kedai makanan tempatan dan membawa manfaat buat seluruh masyarakat Lingga," katanya.
DUN Lingga juga, kata Abang Kassim, perlu mempunyai kilang pemprosesan hasil produk pertanian tempatan dalam usaha menambah peluang pekerjaan.
"Pelaburan dalam sektor pemprosesan hasil pertanian dengan mendirikan kilang sawit, getah dan padi khusus untuk petani tradisonal adalah antara aktiviti ekonomi yang mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan tempatan.
"Sektor industri Pertanian dan sektor industri kecil kampung harus diberikan tumpuan demi membantu petani dan usahawan kecil di Lingga. Skim mikrokredit serta pakej sokongan E-Perniagaan Percuma seperti Pakej Latihan dan Bimbingan E-Digital Percuma juga harus disediakan demi melatih dan membimbing para petani dan usahawan tempatan untuk memperkembangkan
kegiatan ekonomi secara mantap," katnya.
Selain itu, menurut Abang Kassim, insfrastruktur asas juga perlu diperbaiki segera seperti menaik taraf loji rawatan air dan melebarkan jalan pesisir pantai.
Abang Kassim juga berjanji akan memperjuangkan liputan internet yang lebih baik untuk memastikan kelangsungan kehidupan seharian termasuk di sektor perniagaan dan pelancongan berjalan lancar
Comments