Tingkatan Enam di IPTA: Anak muda Nibong Tebal dapat pendedahan awal
- Suara Keadilan
- 7 minutes ago
- 1 min read

Pemilihan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai universiti perintis bagi pelaksanaan Program Pendidikan Tingkatan Enam di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) disambut baik oleh Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Menurut Ketua AMK Nibong Tebal, Mu'adz Abd Rasyid, langkah tersebut amat bermakna khususnya kepada pelajar-pelajar di Parlimen Nibong Tebal, memandangkan kampus USM Transkrian terletak di kawasan berkenaan.
"Pelajar tempatan kini berpeluang mendapat pendedahan awal kepada suasana dan budaya pembelajaran di universiti, yang secara langsung mampu meningkatkan motivasi, jati diri dan keyakinan mereka untuk melangkah ke peringkat pengajian tinggi.
"Pelaksanaan program ini bukan sahaja memperkasa pendidikan pra-universiti, malah dijangka turut mengurangkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar apabila pelajar di kawasan ini dapat menikmati akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf universiti," katanya dalam kenyataan.
Inisiatif tersebut, kata Mu'adz selaras dengan visi reformasi pendidikan negara yang lebih progresif, inklusif dan menyeluruh serta membuktikan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah pimpinan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sentiasa komited untuk menambah baik sistem pendidikan demi masa depan anak-anak Malaysia.
"Justeru, AMK Nibong Tebal menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, para guru, pentadbiran sekolah, pihak universiti dan komuniti setempat agar bersama-sama memanfaatkan peluang ini sebaiknya demi masa depan anak-anak muda yang lebih cerah dan terjamin," katanya lagi.