top of page

Tingkat sektor pertanian berskala besar, agromakanan ke tahap tinggi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 31
  • 2 min read

PM memberi jaminan sektor pertanian akan diutamakan dalam RMK-13. Foto: FB Anwar
PM memberi jaminan sektor pertanian akan diutamakan dalam RMK-13. Foto: FB Anwar

Kerajaan MADANI memberi tumpuan khusus untuk memperkasa sektor pertanian sebagai antara pemacu utama ekonomi negara, dengan penekanan kepada pembangunan pertanian berskala besar di negeri-negeri strategik seperti Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha memperkukuh sekuriti makanan dan mengangkat sektor agromakanan ke tahap lebih tinggi kini digerakkan secara menyeluruh, melibatkan perluasan program penanaman padi lima musim dalam dua tahun di kawasan-kawasan utama seperti MADA (Kedah dan Perlis), KADA (Kelantan) dan kawasan pembangunan pertanian bersepadu di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak.


"Program ini akan dipercepat dan diperluaskan, selaras dengan matlamat meningkatkan pengeluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan," kata Perdana Menteri ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.


Katanya, pemindahan teknologi melalui pembangunan varieti baharu, penggunaan jentera moden dan pendekatan mekanisasi serta automasi agromakanan turut diberi keutamaan. Usaha tersebut akan disokong oleh sistem pengurusan tanah yang lebih cekap, demi kelestarian jangka panjang.


Kerajaan juga mempergiat aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI) dalam bidang pertanian pintar dan ladang satelit, dengan kolaborasi erat antara petani, agropreneur muda, institusi penyelidikan serta pihak industri.


Selain itu, kata beliau, sumber import makanan akan dipelbagaikan bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu-satu negara manakala kawal selia kemasukan makanan akan dipertingkat untuk menjamin keselamatan dan kualiti makanan di pasaran tempatan.


Sebagai langkah memperkukuh rantaian bekalan makanan, kerajaan turut menambah baik kecekapan infrastruktur seperti pusat pengumpulan, pemprosesan, penggredan dan pengedaran, termasuk memperkasa sektor peruncitan berskala kecil dan sederhana.


Anwar turut menekankan pentingnya perubahan paradigma dalam kalangan rakyat terhadap sektor pertanian.


"Minda rakyat perlu diubah daripada melihat pertanian sekadar kegiatan sara diri kepada peluang ekonomi yang sangat menguntungkan dan berdaya maju," ujarnya.


Dengan pelaksanaan menyeluruh pelbagai inisiatif ini, kerajaan menyasarkan sumbangan nilai ditambah subsektor agromakanan mencecah RM58 bilion menjelang tahun 2030.


Inisiatif pertanian MADANI diyakini akan memperkukuh daya tahan sekuriti makanan negara, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, dan melonjakkan sektor pertanian sebagai satu teras penting dalam ekonomi masa depan Malaysia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page