top of page

Tinggalkan kerajaan: Ugutan politik timbul implikasi negatif, rakyat muak

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 18 minutes ago
  • 2 min read
ree

Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Jalex Lee (gambar), menegaskan bahawa mana-mana pemimpin parti yang lantang menggesa UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan perlu berani menterjemahkan pendirian mereka melalui tindakan yang konsisten, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan.


Menurut beliau, kenyataan segelintir pemimpin UMNO termasuk desakan supaya parti itu menjadi pembangkang tidak membawa sebarang manfaat kepada kestabilan kerajaan, malah boleh mengelirukan rakyat.


"Saya amat bersetuju dengan kenyataan Ketua AMK Johor yang menyatakan bahawa kenyataan-kenyataan sedemikian tidak membawa sebarang kebaikan kepada Kerajaan Perpaduan. Adalah lebih wajar sekiranya tenaga dan masa dimanfaatkan untuk membincangkan perkara-perkara yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Jalex berkata, tindakan mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan politik tanpa langkah susulan hanya mencerminkan sikap tidak konsisten dan boleh memberi implikasi negatif kepada kredibiliti ahli politik itu sendiri.


"Kenyataan sebegini sebenarnya boleh memberi implikasi negatif kepada ahli politik itu sendiri, seolah-olah hanya berani bercakap tetapi tidak berani bertindak.


"Khususnya kepada pemimpin UMNO yang mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan mereka merupakan sebahagian daripada komponen kerajaan, adalah lebih bermaruah sekiranya mereka bertindak secara konsisten dengan pendirian mereka, termasuk meletakkan jawatan terlebih dahulu," katanya.


Beliau menambah, kegagalan berbuat demikian hanya akan menimbulkan persepsi bahawa sesetengah pemimpin politik hanya mengutamakan keinginan untuk mengekalkan jawatan dan kuasa semata-mata.


Dalam pada itu, Jalex mengingatkan kepada semua komponen Kerajaan Perpaduan bahawa mandat yang diberikan rakyat perlu dihormati dengan melaksanakan tanggungjawab mentadbir negara sebaik mungkin, bukannya terus berpolitik hingga menimbulkan kekeliruan.


"Apabila kepercayaan ini diberikan, maka menjadi tanggungjawab kita bersama untuk melaksanakannya sebaik mungkin, bukannya terus berpolitik sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.


"Oleh itu, jika tidak berani bertindak atas kapasiti peribadi, maka adalah lebih baik untuk kita terus bekerjasama demi kepentingan negara," ujarnya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page