Tinggal 110 sokongan Ahli Parlimen, Muhyiddin wajib segera mengadap Agong



Pengumuman Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai keabsahan pentadbiran Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Meskipun Ahmad Jazlan sendiri berkata kerajaan PN tidak tumbang kerana pembangkang hanya mempunyai 108 sokongan, beza dua kerusi berbanding PN, namun dari sudut Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan seseorang PM mestilah mempunyai majoriti secara teknikalnya kerajaan Muhyiddin sudah pun tumbang.


Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, secara prinsip Muhyiddin tidak lagi boleh berlengah-lengah menyelesaikan status keabsahan pemerintahannya.


Menurut Hassan, berdasarkan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan, terdapat 222 Ahli Dewan Rakyat yang dipilih melalui pilihan raya. Dua orang Ahli Parlimen telah meninggal dunia iaitu Ahli Parlimen Batu Sapi dan Ahli Parlimen Gerik.


Hal itu, katanya menjadikan jumlah ahli Dewan Rakyat tinggal 220 orang. Maka jumlah sokongan 110 yang dimiliki oleh Muhyiddin menjadikan Kerajaan PN tidak ada majoriti di Dewan Rakyat.


"Sepanjang 10 bulan lalu Muhyiddin pula telah mengelak dan menafikan pembentangan usul Tidak Percaya terhadapnya sebagai PM di Parlimen. Malah usul Undi Percaya terhadap beliau sebagai PM yang dibawa oleh Ahli Parlimen kerajaan juga tidak diberi peluang .


"Perkara yang paling hampir boleh ditafsirkan sebagai Undi Percaya kepada Muhyiddin ialah pengundian pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat. Undi yang paling tinggi dicapai oleh Kerajaan PN pada 15 Disember 2020 ketika Kerajaan PN mendapat 111 undi manakala pembangkang 108 undi. Namun 111 undi yang diperolehi PN itu termasuk sokongan daripada Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan.


"Kini Ahmad Jazlan menarik balik sokongan secara terbuka maka dari segi Perlembagaan PM Muhyiddin hilang sokongan majoriti di bawah Perkara 43(2)(a).


"Saya selaku salah seorang ahli Dewan Rakyat menyeru agar Muhyiddin supaya mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan mendapatkan perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dengan seberapa segera," katanya dalam satu kenyataan kepada Suara Keadilan.


Kata Hassan lagi, Muhyiddin mempunyai beberapa pilihan sekiranya mengadap Agong sama ada beliau meletak jawatan atau pun membubarkan Parlimen.


"Pilihan pertama tentulah beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri


"Beliau juga boleh menasihati Agong supaya Parlimen dibubarkan dan Pilihan Raya Umum diadakan dalam tempoh 60 hari," katanya


Menurut Hassan, Muhyiddin juga boleh menasihati baginda untuk melantik PM interim bagi meneruskan pentadbiran negara.


Namun, kata Hassan, sekiranya Muhyiddin mengutamakan rakyat yang sensara menghadapi musibah Covid 19 dan banjir besar di Pantai Timur serta Selatan tanah air maka beliau seharusnya mencadangkan pihak yang lebih berwibawa, iaitu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai PM kerajaan minoriti dan diberi tempoh tertentu untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan, yang melibatkan bipartisan sesiapa yang berminat ingin menyelamatkan negara.


Pada 6 Januari lalu, Ahmad Jazlan mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkuat kuasa serta-merta.


Dengan pengumuman menarik sokongan dari PN semalam, Ahmad Jazlan merupakan Ahli Parlimen Umno yang kedua berbuat sedemikian selepas Tengku Razaleigh Hamzah yang menghantar usul kepada Speaker Dewan Rakyat meminta diadakan Undi Tidak Percaya terhadap pentadbiran Muhyiddin.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER