top of page

Tindakan tegas kerajaan kawal media sosial wajar untuk lindungi pengguna

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 28
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Tindakan tegas Kementerian Komunikasi yang dicadangkan ke atas penyedia platform media sosial dengan menguatkuasakan sepenuhnya peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi melindungi pengguna daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian, perjudian serta pelbagai ancaman siber lain adalah wajar.


Penggerak Rakan Nasionalis Moderat, Faiz Naaman berkata syarikat penyedia platform seperti Meta, TikTok dan Telegram tidak boleh dibiarkan beroperasi sewenang-wenangnya tanpa kawalan, kerana kekuatan mereka yang mempunyai jutaan pengguna memberi kesan besar terhadap kestabilan negara.


"Kerajaan berdepan kesukaran untuk mengawal 100 peratus kandungan media sosial, termasuk kemungkinan penyebaran fitnah, provokasi, isu 3R, judi dan scammer.


"Oleh itu, ketegasan amat diperlukan kerana kepentingan keselamatan serta ketenteraman awam jauh lebih penting daripada kebebasan mutlak untuk meluahkan apa sahaja di media sosial.


"Jadi, jika sampai satu tahap pengendali media sosial enggan bekerjasama dengan kerajaan, tindakan tegas perlu diambil. Kepentingan keselamatan dan ketenteraman awam jauh lebih penting daripada kebebasan mutlak di media sosial," katanya kepada Suara Keadilan.


Beliau memberi contoh India yang mengharamkan TikTok apabila syarikat berkenaan gagal mematuhi arahan kerajaan. Katanya, tindakan sebegitu menunjukkan bahawa kepentingan negara dan rakyat harus mengatasi kepentingan korporat syarikat asing.


"Kesukaran ini memerlukan ketegasan. Sebagai contoh, India, negara demokrasi terbesar di dunia telah mengharamkan TikTok," ujarnya.


Pada Jun 2020, kerajaan India mengharamkan aplikasi TikTok dan berpuluh lagi aplikasi lain buatan China dengan hujah bahawa ia mendatangkan bahaya kepada negara itu.


Pada September 2023, pemerintah Indonesia bersedia mengikut jejak India dan Amerika Syarikat melarang aplikasi TikTok daripada terlibat dalam kegiatan e-dagang dan TikTok Shop di negara itu.


Langkah kerajaan Indonesia itu berdasarkan kebimbangan potensi monopoli perniagaan TikTok susulan keupayaannya memiliki sistem pembayaran digital dan sokongan logistik sendiri serta menjalankan operasi e-dagang yang boleh menjejaskan perniagaan tempatan.


Terbaru, Kementerian Komunikasi dalam kenyataan, setakat 19 Sept lalu sebanyak 120,127 siaran atau aktiviti berkaitan judi dalam talian dengan 114,665 kandungan diturunkan di platform Meta membuktikan kerajaan bertindak tegas dalam usaha untuk mengawal kandungan sensitif dalam media sosial.


Dalam pada itu, Faiz turut mendedahkan beliau sendiri pernah menjadi mangsa apabila maklumat peribadinya bocor melalui media sosial sehingga menerima mesej tidak diingini.


Justeru, katanya, kerajaan wajar mengenakan lesen, mewajibkan pematuhan undang-undang Malaysia kepada semua penyedia platform media sosial yang beroperasi di negara ini.


"Undang-undang kita mesti ditegakkan. Jangan sampai syarikat luar merasakan kerajaan tiada alternatif. Kita tidak boleh membiarkan mereka menentukan tafsiran sendiri.


"Misalnya hantaran di media sosial oleh rakyat Malaysia mengenai isu perjuangan Kashmir atau Hamas yang dianggap sensitif atau salah, sedangkan ia dilihat secara berbeza melalui pandangan majoriti rakyat Malaysia," jelasnya.


Menurutnya lagi, Malaysia boleh mencontohi langkah negara seperti China dan India yang berani mengawal serta mengehadkan pengaruh media sosial asing demi kestabilan politik dan keselamatan nasional.


"Media sosial kini antara punca utama berlakunya pemberontakan rakyat dan kerosakan fasiliti awam di beberapa negara. Kerajaan perlu bertindak lebih awal supaya keadaan ini tidak menjejaskan negara kita," tegasnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page