
Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menghantar surat bertajuk 'Tindakan Tatatertib Dengan Tujuan Buang Kerja atau Turun Pangkat' kepada cikgu Fadli Salleh mendapat kritikan rakyat Malaysia.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Putrajaya, Syafiq Anwar Saidi, tindakan berkenaan amat tidak sesuai diambil oleh kementerian di bawah Senator Dr Radzi Jidin itu yang seharusnya lebih terbuka menerima kritikan.
"KEADILAN Cabang Putrajaya mengecam sekeras-kerasnya tindakan intimidasi sebegini. Tekanan berbaur ugutan seperti itu adalah tidak wajar dan harus dihentikan serta merta terhadap Cikgu Fadli dan warga pendidik mahupun kepada penjawat awam yang ingin bersuara.
"Pihak kerajaan khususnya KPM seharusnya bersifat lebih terbuka terhadap keluhan mahupun cadangan penambahbaikan terhadap sistem pendidikan di negara kita terutama apabila ianya datang terus daripada warga pendidik yang lebih arif dengan suasana sebenar di lapangan persekolahan," katanya dalam satu kenyataan.
Manakala tindakan Dr Radzi Jidin yang hanya memberi respon terhadap isu tersebut setelah beberapa bulan Cikgu Fadli bersuara, kata Syafiq, memperlihatkan betapa Radzi culas dalam menjalankan tanggungjawab beliau sebagai seorang menteri kanan berportfolio pendidikan.
"Kami menuntut agar sebarang tindakan tatatertib yang sedang diputuskan terhadap cikgu Fadil ditarik semula dan dihentikan serta merta.
"Walaupun telah gagal menguruskan isu ini sedari awal, Dr Radzi Jidin dinasihatkan agar harus lebih cekap dalam menjalankan tugas beliau sebagai caretaker Menteri Kanan - Pendidikan," katanya lagi.
Cikgu Fadli diberi surat tatatertib selepas menyuarakan beberapa isu pendidikan membabitkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.
Fadli dalam catatan setelah mendapat surat berkenaan berkata tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan beliau tidak terlibat dalam sebarang masalah disiplin atau dengan ibu bapa pelajar sekolah.