Tindakan susulan RCI Tabung Haji jadi keutamaan kerajaan - Zulkifli
- Helmi Mohd Foad

- 6 minutes ago
- 2 min read

Kerajaan MADANI akan memberi keutamaan untuk memastikan tindakan susulan terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) diselesaikan secara tegas dan menyeluruh demi memelihara amanah jutaan pendeposit serta kesucian harta umat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata kerajaan pada masa sama menghormati proses Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebagai institusi Parlimen yang berwibawa dan bersedia memberikan kerjasama penuh sekiranya diperlukan.
"Namun fokus utama buat masa ini adalah memastikan tindakan susulan terhadap Laporan RCI Tabung Haji diselesaikan secara tegas dan menyeluruh.
"Langkah ini penting demi memelihara amanah jutaan pendeposit serta mempertahankan kesucian harta umat Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkifli berkata RCI berkenaan dianggotai enam tokoh berwibawa tinggi yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Julai 2021.
Menurut beliau keanggotaan suruhanjaya itu merangkumi tokoh dan pakar dalam bidang kehakiman, pentadbiran awam, perbankan, syariah serta audit.
"Gabungan kepakaran ini memastikan setiap siasatan dan cadangan tindakan dibuat secara bebas, profesional, adil, serta berintegriti tanpa sebarang campur tangan," katanya.
Beliau berkata siasatan berkenaan turut disokong titah perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 2021 selain ketegasan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 8 Ogos lalu yang menuntut sebarang penyelewengan disiasat “hingga ke lubang cacing”.
Katanya desakan berterusan pelbagai pihak sejak 2019 juga membuktikan pengurusan simpanan umat Islam menuntut ketelusan mutlak yang tidak boleh dikompromi.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus menggalas amanah berkenaan dengan penuh tanggungjawab dan memastikan sebarang kezaliman ditangani berlandaskan undang-undang.
"Kerajaan MADANI berikrar akan menggalas amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan rasa gerun kepada Allah dan memastikan setiap kezaliman ditangani berlandaskan undang-undang," katanya.
Laporan media tempatan semalam menyebut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penubuhan badan khas di bawah PAC lebih sesuai dipertimbangkan berbanding mengadakan RCI kali kedua.
Beliau yang juga Presiden Umno berkata, PAC mempunyai 'locus standi' yang jelas menerusi tugas dan tanggungjawabnya untuk meneliti perkara berkaitan pengurusan kewangan serta tadbir urus.
Beliau sebelum itu memaklumkan beberapa Ahli Parlimen mencadangkan secara tidak formal supaya PAC menubuhkan badan khas bagi menjalankan siasatan terhadap pengurusan TH selepas tempoh yang telah diteliti sebelum ini bagi memastikan tidak timbul tuduhan berhubung sebarang penyelewengan.




Comments