top of page

Tidak rayu 40% hasil: PMX jamin kesejahteraan, pembangunan rakyat Sabah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Nov 12, 2025
  • 2 min read

Oleh: Noraini Nordin


ULASAN BERITA: Bukan sahaja rakyat Sabah bergembira, penulis yang kerap ke negeri di bawah bayu ini juga terus merasa terharu berkongsi berita bahawa Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pendirian Kerajaan MADANI itu telah membuktikan bahawa kesejahteraan rakyat Sabah sentiasa dalam perhatian PMX khasnya untuk memastikan negeri tersebut terus maju serta membangun.


Petang semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri diadakan bagi membincangkan penghakiman mahkamah berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.


"Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.


"Oleh itu, kerajaan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan akan memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera," katanya dalam kenyataan. 


Bagaimanapun AGC berkata, kerajaan akan mengemukakan rayuan berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi yang antara lain mendakwa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajipan perlembagaan sejak tahun 1974.


Oleh kerana PRN Sabah akan diadakan pada 29 November dan negeri itu ketika ditadbir kerajaan sementara, rundingan Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah berkaitan isu 40 peratus pemulangan hasil itu hanya dapat dilakukan setelah kerajaan baharu dibentuk.


Berita gembira rakyat Sabah


Apa pun keputusan Kerajaan MADANI tidak mengemukakan rayuan adalah suatu berita gembira buat rakyat Sabah seluruhnya.


Tiada lagi sebarang teka-teki berkenaan pemulangan 40 peratus hasil Persekutuan kepada negeri, sebaliknya menunjukkan komitmen tulen kerajaan untuk menunaikan hak tersebut.


Rundingan selepas itu lebih kepada bagaimana pembayaran harus dilakukan dan jika ada bayaran yang masih belum diselesaikan.


Hakikatnya ini adalah suatu sejarah baharu yang membuahkan kemanisan bagi rakyat dalam mendapatkan hak mereka yang sewajarnya sebagaimana telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Pastinya tiada rakyat Sabah yang tidak gembira dengan pendirian Kerajaan MADANI itu kerana selama ini hak 40 peratus itulah yang selalu diminta.


Hormati semangat Perlembagaan


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor jelas gembira dengan keputusan kerajaan itu dan menganggapnya sebagai tanda sangat memahami keperluan rakyat Sabah.


"Rakyat Sabah sudah menunggu terlalu lama. Apa yang diperlukan kini ialah tindakan tegas dan kemahuan politik yang tulen untuk menunaikan serta melaksanakan hak 40 peratus itu," katanya.


Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sabah, Datuk Mustapha Sakmud pula berkata, pendirian itu membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam menghormati semangat dan roh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar di atas kertas, tetapi diterjemah dalam bentuk tindakan berani dan berprinsip.


"KEADILAN Sabah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri serta barisan Jemaah Menteri kerana membuat keputusan yang berlandaskan prinsip keadilan dan persekutuan sejati.


"Tindakan ini memperkukuh keyakinan rakyat Sabah bahawa kepimpinan PMX benar-benar memahami denyut nadi dan perjuangan rakyat negeri ini untuk mendapatkan hak yang telah sekian lama dinafikan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page