Tidak rayu 40%: Hajiji puji komitmen tulen PM hormati hak Sabah
- Suara Keadilan

- Nov 12, 2025
- 1 min read

Ketua Menteri sementara Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (gambar) menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet Persekutuan atas keputusan tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pemulangan 40 peratus hasil pendapatan yang diperoleh Kerajaan Persekutuan dari negeri itu.
Hajiji berkata keputusan itu membuktikan komitmen tulen Perdana Menteri yang memahami aspirasi rakyat Sabah serta menghormati hak perlembagaan negeri sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam pertemuan dan perbincangan saya dengan Perdana Menteri, saya menyatakan pendirian tegas kerajaan negeri bahawa hak Sabah mesti dihormati, diiktiraf dan dilaksanakan.
"Keputusan untuk tidak membuat rayuan ini mencerminkan hubungan kerja yang kukuh antara kerajaan negeri dan Putrajaya," katanya dalam kenyataan media.
Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, keputusan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober itu dibuat pada mesyuarat khas Jemaah Menteri bersama Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar.
Sehubungan itu jelasnya, Kerajaan Persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama kerajaan Sabah dengan kadar segera.
Sementara itu menurut Hajiji, kerajaan negeri bersedia berunding secara konstruktif dengan Putrajaya bagi memuktamadkan pelaksanaan keputusan mahkamah.
Dalam kenyataan sama beliau turut menyeru rakyat supaya terus menyokong kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.









Comments