Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin membuat keputusan untuk menghadiahkan laptop dan langganan internet kepada sebuah keluarga yang kurang berkemampuan.
Beliau mendapati seorang pelajar Tingkatan 1, Mohd Haikal bersama-sama dengan dua orang adiknya sering ketinggalan dalam pelajaran kerana ketiadaan sebarang gajet untuk belajar secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
"Bapanya yang bekerja sebagai tukang cuci dengan gaji bulanan sebanyak RM1, 200.00 memang tidak berupaya membelikannya laptop atau tab.
Janji Kerajaan Pusat untuk memberikan laptop kpd pelajar B40 jauh panggang daripada api.
"Selepas mengetahui masalah yang dihadapi oleh keluarga ini, saya menyumbangkan sebuah laptop berkualiti tinggi kepada mereka.
"Namun kedaifan keluarga itu menyaksikan pemberian laptop itu umpama si kudung mendapat cincin kerana rumah keluarga ini ketiadaan kemudahan wifi.
"Dengan ini, saya telah melanggan kemudahan wifi selama 6 bulan agar adik Mohd Haikal yang bercita-cita menjadi seorang peguam manakala adik perempuannya Haslinda dan Hazirah masing-masing hendak menjadi pakar jantung dan Ketua Polis Wanita pertama negara itu dapat mengikuti pelajaran secara PdPR," katanya.
Beliau bagaimanapun meluahkan rasa kecewa kerana menyifatkan Malaysia sudah merdeka 64 tahun, namun masih banyak keluarga daif di luar sana.
"Selagi nyawa dikandung badan, saya akan cuba membantu semua pelajar memiliki gajet untuk belajar pada musim PKP 3.0.
"Ini kerana bagi saya pendidikan dapat menjamin masa depan seseorang pelajar dan membebaskan keluarganya daripada kepompong kemiskinan," katanya.
Comments