Ketua Bahagian KEADILAN Kota Marudu, Sazalye Donol menyifatkan Presiden PBS, Maximus Ongkili gagal menjalankan tugasnya di Kota Marudu sehingga daerah berkenaan tersenarai antara yang paling miskin di negara ini.
Beliau berkata, Maximus bukan hanya sebagai Ahli Parlimen di kawasan itu, malah memegang beberapa jawatan menteri sebelum ini termasuk menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional), Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada 2013.
Katanya, beliau kini berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) namun seolah-olah tidak menjalankan tugasnya.
“Apakah beliau tidak merasa malu menjadi Ahli Parlimen di daerah termiskin di Malaysia walaupun beliau telah menjadi menteri di peringkat persekutuan sejak 17 tahun lalu?” katanya.
Beliau mengulas laporan baru-baru ini yang menyatakan Sabah sebagai negeri termiskin di Malaysia manakala Pitas, Tongod serta Kota Marudu dinamakan sebagai daerah termiskin.
Donol berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan kerana Sabah negeri yang mempunyai hasil bumi terkaya di negara ini.
Selain itu, katanya, Sabah juga menguasai sektor pelancongan serta sektor-sektor lain yang jelas membuktikan Sabah sepatutnya menjadi sebuah negeri terkaya di Malaysia.
“Namun mengapa Sabah menjadi negeri termiskin di Malaysia?
“Saya yakin ini terjadi kerana kerajaan mengabaikan rakyat Sabah dari pelbagai aspek terutama pembangunan infrastruktur.
“Pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan telekomunikasi amat penting dalam pembangunan ekonomi rakyat tempatan dan ia menyukarkan rakyat bila kerajaan mengabaikan kepentingan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, Donol berharap rakyat Sabah terutama penduduk di Kota Marudu akan lebih bijak memilih wakil rakyat selepas ini bagi memastikan mereka tidak terus terabai.
“Pengembalian hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga amatlah penting.
“Tetapi perlu diingat ianya akan menjadi sia-sia selagi wakil rakyat yang dipilih hanya mementingkan kantung sendiri dan kroni berbanding rakyat yang diwakilinya,” katanya.
Comments