Tidak letak calon di PRK Jepak, KEADILAN Sarawak hormat mandat GPS
- Redzuan Shamsudin

- Sep 30, 2023
- 2 min read

KEADILAN Sarawak tidak akan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Talib Zulpilip.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh, keputusan yang dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi KEADILAN Sarawak, Abun Sui Anyit telah dengan jelas menyatakan hal tersebut.
Abang Zulkifli yang juga Ketua Cabang KEADILAN Batang Lupar turut menyokong keputusan tidak menghantar calon demi menjaga keharmonian Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi DAP Jepak, Tony Ung atas pandangan dan cadangan beliau supaya KEADILAN menghantar calon bertanding di DUN Jepak.
"Beberapa perkara yang Batang Lupar pertimbangkan ialah, pertama madat sepenggal rakyat bagi DUN Sarawak telah diserahkan kepada GPS, termasuk DUN Jepak, jadi kita menghormati mandat tersebut.
"Kedua Kerajaan Perpaduan sedang rancak berusaha dengan GPS membangunkan Sarawak, khasnya dalam isu MA63
"Ketiga, keadaan ekonomi semasa yang menekan, dengan kos sara hidup yang tinggi adalah lebih baik kita menghulur tangan membantu dalam perkara yang lebih mendatangkan manfaat kepada rakyat. Kita tidak boleh membazir kerana hanya ingin melibatkan dari dalam Pilihan Raya Kecil," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abang Zulkifli lagi, walaupun demokrasi itu penting tetapi dalam keadaan politik terkini, beliau dan Cabang Batang Lupar berpendapat adalah lebih elok KEADILAN atau Pakatan Harapan memberi laluan kepada GPS.
"Kita boleh terus menegur atau mencadang (agenda perjuangan) kepada Kerajaan melalui saluran lain. Misalannya melalui media dan sebagainya.
"Selain itu, kita sangat menghargai sokongan Primier Sarawak kepada Kerajaan Perpaduan di bawah Pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Dalam beberapa siri ucapannya yang kita ikuti melalui media, kita sangat yakin, bahawa Primier Sarawak seorang yang bertanggung jawab dan ikhlas," katanya lagi.
Abang Zulkifli yakin Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN juga akan menerima keputusan KEADILAN Sarawak untuk tidak meletak calon di PRK Jepak.




Comments