top of page

'Tiba masanya Hj Hadi bertembung dengan PM Anwar' - Wan Fauzuldin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 2
  • 2 min read

Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sewajarnya disandang oleh ketua parti komponen terbesar gabungan itu dan pada masa sama wajar memegang posisi Ketua Pembangkang, selaras dengan amalan politik sebelum ini, kata Ketua Cabang KEADILAN Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad (gambar).


Beliau menjelaskan, contoh jelas dapat dilihat ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Pengerusi Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan, sekali gus berperanan sebagai Ketua Pembangkang kecuali ketika berada dalam penjara.


"Anwar Ibrahim terus dianggap "PM de Facto" ketika itu kerana jawatan (penting) yang dipegangnya," katanya dalam muat naik di media sosial.


Dalam nada sinis Wan Fauzuldin berkata, walaupun Pas mendakwa memiliki “berlori-lori” tokoh berkaliber seperti Anwar Ibrahim hakikatnya sehingga kini PN masih gagal menamakan pengerusi baharu, apatah lagi calon Perdana Menteri.


Sehubungan itu, beliau menyokong penuh agar Presiden Pas, Hj Hadi Awang dilantik sebagai Pengerusi PN, Ketua Pembangkang, dan seterusnya dinamakan sebagai calon Perdana Menteri daripada blok pembangkang.


"Saya setuju Presiden Pas, Hj Hadi dilantik sebagai Pengerusi PN, Ketua Pembangkang sekaligus dinamakan sebagai calon PM dari pihak pembangkang.


"Bila lagi Pas mahu membuktikan "ulamak" boleh memimpin? Tidakkah selama ini Pas selalu laungkan "ulamak boleh memimpin" sehinggakan "dilagukan" di bawah kepimpinan ulamak?" tanyanya.


Beliau juga menolak alasan Hj Hadi tidak gilakan jawatan, sambil mempersoalkan mengapa Presiden Pas itu masih mengekalkan jawatan presiden parti meskipun mengalami pelbagai masalah kesihatan.


"Jika mahu laksanakan agenda Islam, perlukan kuasa. Mahu berkuasa mestilah melalui jawatan dalam kerajaan. Tidak yakinkah Hadi jadi pemimpin utama?" soalnya.


Wan Fauzuldin turut menyuarakan hasrat untuk melihat Hj Hadi berdepan secara langsung dengan Anwar Ibrahim di Parlimen, khususnya dalam sesi Perdana Menteri Waktu Pertanyaan (PMQT).


"Apa yang selalu kita dengar dan lihat selama tiga tahun Anwar jadi PM, Hadi hanya mengata Anwar di belakang sahaja. Sesi PMQT setiap minggu dalam persidangan parlimen pun, tidak pernah Hadi berani berdepan dengan Anwar. Kita perasan, setiap kali Anwar hadir parlimen, amat jarang sekali Hadi hadir


"Apabila Hadi ditabalkan menjadi Pengerusi PN dan Ketua Pembangkang, mahu atau tidak, malas atau rajin, Hadi terpaksa hadir ke parlimen" katanya.


Tegas Fauzuldin, tiada masalah sekiranya Hj Hadi tidak sekuat dahulu untuk hadir ke Parlimen kerana sebelum ini banyak Ahli Parlimen yang berkerusi roda menjalankan tugas.


"Berkerusi roda hadir ke parlimen pun tiada masalah, Mendiang Karpal Singh, Hanipa Maidin dan Sany Hamzan pun biasa hadir ke parlimen berkerusi roda. Tiada alasan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page