Tiba masa untuk Rafizi muhasabah kelemahan diri sendiri
- Azuan Ab Rahman
- 7 hours ago
- 1 min read

Ketua Cabang KEADILAN Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli diminta berhenti menyalahkan pihak lain berhubung kegagalan pelaksanaan dasar yang cuba diperkenal kerajaan.
Pengerusi Biro NGO Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang, Michael Sia Wei Lung (gambar) menerusi satu kenyataan pada Sabtu berkata bekas Menteri Ekonomi itu seharusnya tampil memberikan penjelasan jujur kepada rakyat mengenai inisiatif yang diterajui beliau ketika dalam kementerian sama ada impaknya dirasai atau tidak oleh rakyat.
"Retorik yang selama ini dilaungkan ternyata tidak diterjemahkan menjadi impak sebenar dalam kehidupan rakyat.
"Sehingga kini masih terdapat persoalan yang belum terjawab membabitkan penggunaan ratusan juta ringgit dana kerajaan tanpa impak ekonomi yang benar-benar dirasai rakyat.
"Lebih membimbangkan, beberapa inisiatif utama menunjukkan kelemahan ketara dari segi pelaksanaan dan keberkesanan," kata Ketua Cabang KEADILAN Maran itu.
Michael menerusi kenyataan sama turut mengkritik pendekatan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang diperkenal Rafizi.
Beliau mendakwa, kaedah digunakan dengan memaksa rakyat mendaftar dengan naratif kehilangan bantuan kerajaan jika gagal berbuat demikian adalah pendekatan tidak wajar.
"Menerusi platform podcast beliau semalam, Rafizi dilihat menyalahkan semua pihak seolah-olah cuba mengelak daripada menjawab isu pokok yang dibangkitkan," tambahnya.
Sementara itu tambahnya, sentimen di peringkat akar umbi kini telah menunjukkan tahap kepercayaan rakyat kepada Rafizi semakin merosot. Justeru sudah tiba masanya untuk beliau tidak lagi menyalahkan semua pihak tetapi melakukan muhasabah bagi memulihkan kepercayaan rakyat kepadanya.
"Kepemimpinan bukan diukur melalui retorik atau populariti di podcast, tetapi melalui keupayaan memikul tanggungjawab dan membuktikan hasil yang nyata kepada rakyat," katanya.
