Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Komunikasi memberi jaminan Kod Etika Wartawan Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini tidak mengekang wartawan daripada menjalankan tugas membuat pelaporan berita.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini tiada seorang wartawan yang ditahan, diheret ke mahkamah mahupun disoal siasat kerana membuat berita mengenai skandal besar.
"Saya sebagai seorang demokrat dan berpegang kepada prinsip reformasi tidak berhasrat mengekang suara dan hak para wartawan yang menjadi teras utama
"Sebagai seorang demokrat dan berpegang kepada prinsip reformasi, saya tidak berhasrat mengekang hak bersuara khususnya hak para wartawan membuat pelaporan.
"Kebebasan media itu menjadi salah satu teras utama yang bukan hanya perlu kita sokong, tetapi kita juga perlu makmurkan lagi," katanya dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin tahu jaminan kerajaan dalam memastikan Kod Etika Wartawan Malaysia yang ditambah baik tidak akan mengekang mana-mana pengamal media untuk melaporkan ataupun membongkar sesuatu isu-isu dan skandal.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, kad perakuan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) kepada para pengamal media hanyalah kad pemudah cara petugas media menjalankan tugas masing-masing.
Memberikan contoh, editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown tidak mempunyai kad perakuan media namun masih boleh melaporkan berita-berita mengenai skandal di negara ini.
"Sekali lagi kad perakuan media tidak halang seseorang membuat pelaporan menulis berita.
"Claire (Rewcastle-Brown) tiada kad perakuan media tapi beliau boleh menulis sesiapa sahaja di luar sana sahaja boleh menulis," ujarnya lagi.
Kod Etika Wartawan Malaysia dilancarkan pada 20 Februari lalu mengandungi lapan etika utama iaitu wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, telus dan berintegriti serta berlaku adil dalam menyampaikan informasi.
Selain itu wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka dan wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.
Dalam pada itu etika tersebut turut menekankan pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi, kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.
Commentaires