Tiada tempoh 'berbulan madu' bagi Menteri KESUMA - Ramanan
- Suara Keadilan
- 6 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, memberi jaminan akan menyelami dan memahami sepenuhnya peranan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam tempoh terdekat, dengan sokongan barisan pengurusan tertinggi dan agensi berkaitan termasuk PERKESO.
Katanya, tiada istilah ‘tempoh berbulan madu’ memandangkan ramai rakyat di luar sana yang memerlukan bantuan daripada pihak KESUMA.
"Kalau kita lihat semalam (merupakan) hari pertama saya dan (telah) diberikan taklimat oleh Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof bersama semua kakitangan tertinggi kementerian.
"Hari ini hari kedua kita sudah ada di Menara PERKESO. Semestinya tiada masa untuk berbulan madu sebab ramai rakyat yang memerlukan bantuan.
"Antara contohnya, seramai 400,000 rakyat Malaysia berulang alik setiap hari ke Singapura.
"Mereka kena ada satu cara untuk melindungi diri kalau terjadi sebarang kemalangan," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi di Menara PERKESO Jalan Ampang, di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disampaikan oleh Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil semalam bahawa tiada tempoh bulan madu diberikan kepada anggota Jemaah Menteri yang baharu.
Naib Presiden KEADILAN itu menambah, beliau sememangnya menyokong apa yang diperkatakan oleh Anwar.
"Memang Datuk Seri Anwar kata ‘there is no time for honeymoon, immediately get to work’. Sebab semalam pun kita baru masuk pejabat, ramai daripada kita selepas upacara mengangkat sumpah, mesti nak balik dan salin baju dulu, tapi PMX terus ke pejabat selepas upacara angkat sumpah.
"Jadi memang itu yang saya nak buat (terus bekerja tanpa berlengah) dan saya juga akan pastikan dalam beberapa hari ini, saya akan mengenali KESUMA secara lebih mendalam dengan bantuan Datuk Azman dan timbalan-timbalan yang ada serta rakan-rakan agensi di bawah KESUMA contohnya PERKESO," katanya lagi.





