top of page

Tiada sokongan membuta tuli untuk Belanjawan 2021 - Hassan Karim



Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang masih tidak menunjukkan tanda-tanda akan menerima cadangan penambahbaikan pembangkang dalam Belanjawan 2021 diberi amaran, pemerintah tidak akan mendapat sokongan mudah ke atas belanjawan dalam sesi pengundian kelak.


Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, pembangkang sehingga kini masih tegas dengan pendirian akan menyokong peruntukan emolumen, bayaran pencen, kos operasi kerajaan dan perbelanjaan untuk memerangi pandemik Covid 19.


Berkenaan peruntukan lain, katanya, pembangkang telah meneliti dan mengeluarkan cadangan balas yang harus dipertimbangkan dan dibuat pindaan oleh Menteri Kewangan dalam sesi penggulungan.


"Dalam dua tiga hari ini dikatakan saiz belanjawan kali ini adalah lebih besar daripada Belanjawan 2020. Iaitu untuk mengatasi masalah pandemik Covid 19, meransang ekonomi dan sebagainya.


"Tetapi kalau bajet besar, kebocoran juga mungkin besar. Berlaku pembaziran. Ini duit rakyat, pembayar cukai. Duit yang dikutip dari dividen pelaburan kerajaan termasuk dari Petronas dan sebagainya.


"Dalam hal ini kita tidak akan bagi cek kosong (kepada kerajaan PN). Jika dari awal kita kata sokong, ini sokong membawa rebah. Kita nak teliti apa yang kita mahu sokong. Minta ubah, minta pinda pendekatannya.


"Di sini bukan peranan Ahli Parlimen pembangkang sahaja, peranan Ahli Parlimen kerajaan dan anggota kabinet juga perlu dan mesti memperhalusi (belanjawan)," katanya.


Mengulas nasihat Yang di-Pertuan Agong agar semua Ahli Parlimen meluluskan belanjawan secara mudah, Hassan berpendapat seharusnya anggota Dewan Rakyat diberi kebebasan kerana sebelum ini tiada duluan - biar pun dalam keadaan krisis - belanjawan diluluskan dengan sebulat suara.


"Berilah kepercayaan kepada Ahli Parlimen. Kalau belanjawan yang dibentang oleh Menteri Kewangan biarpun mewakili kerajaan PN, takkan semuanya buruk. Dalam masa yang sama tak kan semuanya baik. Yang baik kita sokong. Yang buruk kita perlu halusi. Perlu dipinda, ada penjajaran baru, ada ubahsuai.


"Kita mesti percaya kepada Ahli Parlimen. Dalam masa sama kita juga sayang kepada institusi raja berperlembagaan. Saya sebagai Ahli Parlimen mahu mempertahankan kedua-duanya, institusi raja dan Parlimen yang dipilih rakyat, terpelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.


Pembangkang sebelum ini menekankan agar kerajaan PN tidak meneruskan peruntukan membazir seperti RM85 juta menghidupkan semula JASA, juga mahu kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman bank sehingga Mac 2021 dan membenarkan pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP sebanyak RM10,000.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page