Tiada rakyat Malaysia terlibat nahas pesawat Air India - Wisma Putra
- Suara Keadilan
- Jun 13
- 1 min read

Tiada rakyat Malaysia terlibat nahas pesawat Air India penerbangan AI171 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Ahmedabad, India pagi semalam.
Kementerian Luar (Wisma Putra) menerusi kenyataan memaklumkan, Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai telah mengesahkan perkara itu.
Bagaimanapun menurut Wisma Putra, pihaknya akan terus memantau rapi perkembangan insiden berkenaan dan akan menyalurkan maklumat dikemas kini sekiranya perlu.
"Bagi sebarang bantuan konsul, Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai boleh dihubungi di alamat Unit 12A1, Unit 12A2 dan Unit 12A3, Tingkat 13, Bangunan Supreme Headquarters, Jalan 14 dan 33 berhampiran Link Square Mall, Bandra West, 400 050 Maharashtra, India atau menerusi talian +91 22 6996 5757 (Pertanyaan Am) atau e-mel ke mwmumbai@kln.gov.my," kata kenyataan itu.
Media melaporkan, sebuah pesawat jenis Boeing 787- 8 dalam penerbangan ke London terhempas sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad di negeri Gujarat, barat India.
Pesawat itu membawa 169 warga India, 53 warga United Kingdom, seorang warga Kanada dan tujuh rakyat Portugal.
Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah berikutan nahas tersebut.
"Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan insan tersayang semua yang terlibat.
"Malaysia berkongsi kesedihan, dengan solidariti ketika usaha bantuan dan pemulihan dijalankan.
"Doa dan ingatan kami bersama mangsa serta semua yang meratapi kehilangan yang amat memilukan ini," katanya di laman sosial Facebook.
Comentários