
Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Suip@ Nurin Aina mempersoalkan ketiadaan peruntukan untuk pembaikan dan penyelenggaran cerun di jalan persekutuan dan juga jalan persekutuan di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Beliau berkata perkara itu membimbangkan kerana kerajaan seolah-olah tidak serius dalam menangani isu cerun yang boleh mengakibatkan tanah runtuh di jalan raya.
"Laporan audit 2018 telah menemukan bahawa pemeriksaan cerun telah 7 tahun tidak dilakukan kerana kurang peruntukan.
"Kerja-kerja hanya diadakan terhadap 497 cerun daripada 988 cerun yang telah runtuh dan dimohon peruntukan manakala bagi pencegahan cerun hanya sebanyak 56 cerun iaitu 5.9 peratus berbanding 946 cerun yang disasarkan," katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan peruntukan Kementerian Kerja Raya di peringkat jawatankuasa.
Pada masa sama, Azrina turut meminta kerajaan supaya mengkaji semula kontraktor yang bertanggungjawab dalam kerja pembaikan dan penyelenggaran cerun.
"Laporan audit mendapati sebuah syarikat telah dilantik secara rundingan terus, bermula bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Nov 2017 hingga 31 Okt 2020.
"Skop kerja syarikat itu adalah melaksanakan pembaikan dengan kos kontrak RM900 juta namun kos sebenar berdasarkan keperluan kerja semasa.
"Persoalan saya pihak kontraktor tidak berkeupayaan untuk melaksanakan kerja pencegahan cerun seperti yang dirancang dan ia tidak mempunyai kapasiti untuk melaksanakan skop kerja tersebut.
"Adakah kementerian akan mengkaji semula prestasi kontraktor tersebut dari aspek skop kontrak memandangkan kapasiti kontraktor bagi kerja pembaikan akan berakhir tempohnya pada hujung 2020," katanya.
Comments