Pelantikan Speaker baharu Datuk Azhar Harun yang tidak melalui sesi pengundian semalam dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir dalam sesi siaran langsung di Facebooknya, hari ini.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN itu, beliau menjangkakan pengundian akan dilakukan pada sebelah petang sebagaimana prosedur biasa melantik Speaker. Namun situasi berlaku agak luar biasa apabila Speaker terus mengangkat sumpah jawatan.
Hal ini, kata Akmal, menimbulkan spekulasi sama ada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) takul usul mereka melantik Speaker baharu akan gagal jika berlaku pengundian.
"Semalam saya menjangkakan akan berlaku pengundian di sebelah petang. Malangnya daripada proses pemilihan yang sepatutnya mengikut prosedur, lantikan itu dibuat tanpa melalui undian atau pun perbahasan.
"Ada beberapa telahan (tidak dilakukan pengundian). Mungkin kekhuatiran, contohnya daripada kalangan pemimpin-pemimpin Pas yang begitu keras sebelum ini dengan Pengerang (Azalina), adakah mereka akan mengundi calon tersebut?
"Jadi telahan saya itu mungkin ada asas menyebabkan undian itu tidak dapat dibuat. Ada yang menyatakan perkara ini (hanya) khabar angin. Tetapi kalau kita lihat kehadiran pada sebelah petang, ada beberapa ahli parlimen yang tidak masuk Dewan. Ini akan menimbulkan permasalahan kepada mereka (PN) jika undian diteruskan," katanya.
Bagaimanapun, bagi Akmal, hal utama yang perlu dilakukan oleh Speaker yang telah dilantik ialah meneruskan kerja-kerja reformasi Parlimen yang ditinggalkan oleh Speaker terdahulu, Tan Sri Mohamad Ariff Yusof.
Katanya, KEADILAN dan Ahli Parlimen muda akan menyokong sebarang usaha baik yang dilakukan oleh Speaker dan Timbalan Speaker baharu demi untuk kebaikan bersama.
"Kita mengharapkan segala reformasi Parlimen sebelum ini akan diteliti dan diambil tindakan oleh Speaker yang baru, supaya reformasi untuk tambah baik perjalanan Parilmen diteruskan.
"Kita akan lihat sama ada jawatankuasa-jawatankuasa yang kita wujudkan sebelum ini akan dibenarkan terus berfungsi atau mereka akan bubarkan jawatankuasa tersebut," katanya lagi.
Reformasi sebelum ini menyaksikan pelbagai jawatankuasa baharu dibentuk untuk menjamin integriti Parlimen termasuk menghantar Ahli-ahli Parlimen muda melawat ke Parlimen luar negara bagi menimba pengalaman dan memantapkan pemahaman demokrasi.
Bình luận