Tiada pelajar yang dihentikan pembiayaan pinjaman - PTPK
- Suara Keadilan

- Sep 12
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menolak dakwaan satu gabungan pusat latihan swasta kononnya perbadanan itu telah beberapa kali menghentikan pembiayaan pinjaman pelajaran serta elaun sara hidup bulanan kepada pelatih.
Menerusi satu kenyataan, PTPK menegaskan sehingga bulan lalu, pihaknya telah meluluskan pinjaman dan mempunyai komitmen pembiayaan aktif berjumlah RM524 juta melibatkan 52,098 pelajar dan 306 pusat latihan.
''Pada tahun ini sahaja, seramai 21,947 orang pelajar telah diluluskan pinjaman mereka.
''Semua pelajar yang telah diluluskan pinjaman masih terus menerima pembiayaan dan elaun sara hidup seperti biasa.
''Malah, elaun sara hidup kini telah dinaikkan daripada RM400 kepada RM800 bagi setiap pelajar,'' jelas perbadanan itu.

Sehubungan itu kata PTPK, dakwaan yang dibangkitkan oleh pihak berkenaan adalah tidak berasas sama sekali.
Hakikatnya ujar PTPK lagi, tiada seorang pun pelajar yang sudah diluluskan pinjaman diberhentikan pembiayaan mereka.
''Kami sentiasa beriltizam untuk memastikan anak muda Malaysia mendapat akses kepada latihan kemahiran yang relevan, inklusif dan selari dengan keperluan pasaran kerja semasa.
''Iltizam ini dibuktikan dengan kelulusan pinjaman sebanyak RM4.76 bilion melibatkan 306,600 peminjam sejak penubuhan PTPK pada tahun 2001.
''PTPK turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia (Steven Sim Chee Keong) atas sokongan berterusan beliau terhadap usaha PTPK dalam memastikan setiap program yang dilaksanakan, benar-benar berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa,'' katanya.
Dengan pendekatan baharu berasaskan Performance-Based Budgeting dan prinsip Value for Money, PTPK yakin keberkesanan dan kelangsungan dana akan terus terjamin, sekali gus memastikan pelajar mengikuti kursus yang lebih berkualiti, memperoleh kelayakan yang lebih baik dan mempunyai masa depan lebih terjamin.









Comments