Kerajaan tiada masalah sekiranya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu meneliti kewibawaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia ada sebelum memperakui penyambungan kontrak beliau.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN - Masjid Tanah) yang mendakwa sekiranya janji Pakatan Harapan dalam manifesto lalu bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu meneliti kewibawaan calon Ketua SPRM tidak dilaksanakan, maka akan wujud persepsi berlaku 'deal' antara kerajaan dan pihak SPRM dalam urusan tertentu.
"Saya jelaskan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu (yang lalu) oleh Pagoh (Mahiaddin Yassin) dan diperakui sebagai orang berwibawa dan bebas oleh Pagoh.
"Soalnya sekarang kalau ada pelantikan baru atau penyambungan apakah kaedah baru dikenakan?
"Itu terserah kepada kemajuan yang dibuat parlimen, sekiranya mekanisme seperti mana diputuskan, dicadangkan oleh Transperency International (TI) dan beberapa badan lain diteliti oleh Jabatan Peguam Negara dan agensi kerajaan kemudian dipindahkan kepada jawatankuasa pilihan perkara ini sempat (dilakukan), maka saya tidak ada masalah sama sekali. Tetapi proses itu (jawatankuasa) hendaklah dihormati," katanya dalam sesi soalan PM sesi Dewan Rakyat sebelah pagi.
Sebelum itu, Anwar menjawab soalan Masjid Tanah mengenai syor TI bahawa SPRM perlu diletak di bawah Parlimen. Beliau berkata bahawa kebebasan SPRM adalah dijamin dan sama sekali tidak tertakluk di bawah arahan PM.
Untuk memperkukuh kedudukan SPRM dalam keadaan sekarang ada jawatankuasa khas mengenai rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.
"Sebab itu jika dibangkitkan dan memang sudah ada kajian setakat ini, kerana mantan mantan PM yang lalu juga telah mengambil beberapa inisiatif merunding dan menimbang, maka saya tidak bermasalah untuk menimbang syor TI dan lain lain.
"Saya tidak fikir kita harus memperkenal perubahan semata mata dengan syor ini. Maka sebaiknya syor ini dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk meneliti supaya keupayaan SPRM itu akan ditingkatkan. Supaya tidak ada kekangan dan campurtangan dalam usaha membanteras rasuah yang saya anggap sudah sistemik," katanya lagi
Comentarios