Tiada bukti dakwa aktiviti gay, kerajaan telah lakukan operasi pencegahan
- Suara Keadilan

- 7 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Tindakan penguatkuasaan terhadap sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit yang disyaki terlibat dalam aktiviti tidak bermoral mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI membanteras gejala berkenaan, namun pembebasan individu yang ditahan selepas siasatan menunjukkan pendekatan kerajaan lebih berpaksikan bukti dan peruntukan undang-undang berbanding tindakan berasaskan persepsi semata-mata.
Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Ustaz Syamsul Firdaus Mohamed Supri menegaskan, sebarang tuduhan di mahkamah biarpun dengan niat baik untuk mencegah kegiatan aktiviti songsang gay daripada berleluasa, tidak boleh dibuat tanpa bukti yang kukuh.
"Kita tak boleh nak buat tuduhan berlakunya aktiviti itu (seks songsang) tanpa ada sebarang bukti, melainkan setelah melalui proses-proses berkaitan (menemui bukti).

"Di sini kita melihat dari dua sudut, iaitu syarak dan undang-undang. Dari sudut syarak, pihak berkuasa telah menjalankan kewajipan dengan berusaha untuk membanteras (aktiviti itu) berdasarkan laporan yang diperolehi.
"Apabila telah dibuat tindakan mengikut prosedur dan didapati tidak ada bukti jelas, kena bebaskanlah. Bukan kerana kita mengiyakan (menyokong) tindakan (di pusat spa) itu atau memberikan kebebasan.
''Tapi ini bukti Kerajaan MADANI serius untuk membanteras aktiviti berkenaan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai pembangkang yang dilihat seolah-olah menyalahkan kerajaan susulan pembebasan pengunjung sebuah pusat spa di ibu negara yang sebelum ini dikaitkan dengan dakwaan aktiviti songsang.
Mengulas lanjut katanya, pihak yang mengkritik isu berkenaan termasuk pembangkang dinasihatkan agar membuat penilaian secara menyeluruh terlebih dahulu sebelum mengecam perkara tersebut.
"Kena lihat dari sudut menyeluruh, bukan melihat kepada satu aspek sahaja atau membandingkan (tindakan pembebasan) itu dengan kes-kes lain yang mempunyai asas undang-undang berbeza seperti syariah dan sivil.
"Saya juga menyokong tindakan pihak berkuasa kerana dalam usaha memurnikan masyarakat, kerjasama semua pihak amat diperlukan.
"Namun, untuk mengesan aktiviti tidak bermoral, proses risikan dan penyamaran perlu dilakukan secara terancang, selain memerlukan kerjasama erat semua agensi penguat kuasa termasuk polis dan pihak berkuasa agama," katanya lagi.
Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang mempersoalkan pihak polis dan Kerajaan Madani kerana gagal mendakwa pengunjung sebuah pusat spa di Chow Kit, Kuala Lumpur terlibat dengan jenayah aktiviti seks songsang.
Malah terdapat pemimpin pembangkang yang menuduh kerajaan melindungi beberapa individu yang ditahan kerana mempunyai kaitan politik dengan parti pemerintah.
Sedangkan siasatan polis mendapati ketika serbuan berlaku tiada sebarang pelakuan seks luar tabii direkodkan dan tiada siapa yang mengaku telah melakukannya di dalam pusat spa berkenaan.
Bukti bergambar beberapa lelaki ditahan dengan hanya memakai tuala mandi tidak memadai untuk mensabitkan dakwaan di bawah Seksyen 377A, 377B dan 377C berkaitan seks luar tabii yang memerlukan bukti dan saksi yang jelas mengenai perbuatan sedemikian.









Comments