top of page

Tiada alasan turunkan Yang Dipertuan Besar: Pertabalan di Melaka tidak sah

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Sebarang usaha menukar kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan perlu dilakukan mengikut lunas Perlembagaan Negeri, undang-undang dan adat bagi memastikan keabsahan proses sekaligus mengelakkan berlaku kekeliruan dalam kalangan masyarakat.


Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan, Raihan Md Idris berkata, secara prinsipnya pemasyhuran Yang Dipertuan Besar baharu tidak boleh dianggap sah jika penyandang sedia ada masih memegang jawatan dan belum ditamatkan kedudukannya mengikut proses yang ditetapkan.


Beliau mengakui Negeri Sembilan mempunyai sistem pemerintahan yang unik iaitu Yang Dipertuan Besar dipilih oleh Undang Yang Empat, namun menegaskan kuasa tersebut bukan mutlak tanpa tatacara.


"Jika hendak meminta seorang Yang Di Pertuan Besar berundur atau turun takhta, mesti ada alasan yang sangat kukuh, siasatan penuh dan lengkap, serta proses yang menepati Perlembagaan Negeri.


"Isu ini tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa atau melalui pengisytiharan yang menimbulkan kekeliruan rakyat.


"Tempoh Tuanku Muhriz memerintah sekitar 17 tahun bukan alasan dengan sendirinya untuk menamatkan kedudukan baginda.


"Yang penting ialah sama ada wujud sebab Perlembagaan yang sah dan prosesnya dipatuhi sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan berhubung isu berkenaan.


Dalam pada itu, Raihan menambah, tempoh pemerintahan Almarhum Tuanku Ja'afar selama kira-kira 40 tahun membuktikan tradisi Negeri Sembilan sentiasa menghormati kesinambungan institusi diraja.


"Maka, selagi proses undang-undang dan adat belum diputuskan secara sah oleh saluran yang berautoriti, pendirian paling selamat ialah menghormati kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan serta menyerahkan sebarang pertikaian kepada mahkamah dan saluran perlembagaan.


"Institusi diraja mesti dipelihara, bukan dijadikan gelanggang pertikaian politik," tegas beliau yang juga Ketua AMK Cabang Seremban.


Untuk rekod, istiadat Pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang berlangsung di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada Jumaat lalu tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.


Hal itu donyatakan oleh Pengelola Bijaya Diraja Datuk Azizi Mohamad Ali dalam satu kenyataan semalam.


"Adalah dimaklumkan bahawa majlis yang dikatakan sebagai 'Istiadat Pemasyhuran' Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun 2026 adalah tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.


"Oleh itu, gelaran Yang di-Pertuan Besar yang cuba diambil oleh Tunku Dato Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja'afar adalah tidak berkuat kuasa," kata Azizi dipetik.


Pada 5 Jun lalu, Tunku Nadzaruddin dimasyhurkan oleh Undang Yang Empat sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis yang dilangsungkan di sebuah resort di Alor Gajah, Melaka.


Pemasyhuran diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.


Azizi berkata, dengan cubaan menerima gelaran yang tidak sah itu dengan sendirinya, Tunku Nadzaruddin melepaskan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang sebelum ini disandangnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page