Thailand tolak Malaysia: 'Pembangkang hentikan politik sensasi, buat bising'
- Suara Keadilan
- 9 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pembangkang sekali lagi menjadi bahan kritikan apabila menggunakan komen ahli politik Thailand, seorang pesara tentera, Rangsi Kitiyansap sebagai ‘alat’ untuk menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) menghentam peranan beliau sebagai Pengerusi ASEAN serta perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja.
Menurut Aktivis KEADILAN, Zainurizzaman Moharam, individu yang mengecam PM Anwar dalam video di TikTok itu bukanlah seorang ahli politik berwibawa Thailand, sebaliknya hanya seorang pengulas politik bebas dan ahli sebuah parti pembangkang.
"Sekarang tengah viral kononnya Thailand marah Malaysia. Puncanya? Papagomo ambil kenyataan daripada sorang mamat Thailand bernama Rangsi Kitiyansap, lepas tu ‘spin’ habis macam kerajaan Thailand keluarkan kenyataan rasmi.
"Padahal Rangsi bukan pemimpin kerajaan pun! Dia cuma bekas tentera dan bekas pengarah Channel 5 TV Thailand.
"Lepas bersara, dia jadi pengulas politik bebas, sembang isu sana-sini, lebih kurang Papagomo versi Thailand la gitu. Dua-dua bukan pembuat dasar, tapi dua-dua suka buat bising," tempelak beliau dalam satu kenyataan.

Zainurizzaman berkata, secara mudahnya, parti Economic Party (Thailand) yang dipimpin Rangsi Kitiyansap seakan sama dengan Parti Pejuang di Malaysia yang kurang sokongan dan tiada kerusi.
Katanya, ketika Pilihan Raya Umum (PRU) Thailand 2019 parti tersebut yang ketika itu dikenali sebagai Thai Citizen Power Party memenangi satu kerusi senarai parti.
"Dalam PRU 2023 pula, ketika parti itu dikenali sebagai Zen-Dai Party, mereka ‘mencalonkan’ wakil, tetapi tidak memenangi kerusi.
"Yang kelakarnya, walaon percaya bulat-bulat benda ni, siap tulis ‘Thailand sudah tolak Malaysia’.
"Weh, kerajaan Thailand sendiri tak pernah sebut apa-apa pun! Yang bercakap tu cuma pengkritik bebas, bukan jurucakap, bukan menteri, bukan wakil kerajaan.
"Tapi biasalah… bila kepala dah tak disambung dengan logik, semua benda nampak macam teori besar, dunia nak tumbangkan Malaysia," katanya secara sinis.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi turut berkongsi pendapat sama.
Katanya, pembangkang sering menggunakan sumber dan bahan berita tidak berkredibiliti untuk disensasikan.
Beliau merujuk kepada tindakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam yang membangkitkan mengenai tuduhan Rangsi Kitiyansap terhadap PMX.
Menurut Mohd Puad, Kitiyansap hanyalah pesara tentera yang tidak mempunyai `kredibiliti diplomatik’ serta tidak perlu diambil berat pendapatnya.
"Mempercayai cakap Rangsi sesuka hati sama seperti percaya cakap Prof Dr Solehah Yaacob yang mendakwa isteri Rasulullah (SAW) berasal daripada kepulauan Melayu.
"Prof kontroversi ini percaya pelayar Rom belajar buat kapal daripada orang Melayu.
"Di Malaysia ada bekas Jeneral yang tidak faham “simple english” apatah lagi bahasa Siam," katanya dalam muat naik Facebook hari ini.
Semalam, Wan Ahmad Fayhsal dan Shahidan mendesak Kementerian Luar Negeri membuat kenyataan balas susulan tuduhan Kitiyansap yang menyifatkan Anwar `musuh dalam selimut’ ASEAN susulan perjanjian damai Thailand-Kemboja.
Menerusi wawancara yang tular di media sosial, Kitiyansap didakwa menuduh Anwar sebagai `pengintip AS’ selain menggunakan perjanjian damai Thailand-Kemboja untuk mengangkat diri sendiri selaku Pengerusi ASEAN.





