Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti dari blok pembangkang menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia meneruskan pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP) untuk semua 4.79 juta murid di seluruh negara yang terkesan akibat dampak pandemik Covid-19 terhadap perkembangan nutrisi anak-anak dan sosio-ekonomi keluarga mereka.
Menurut kenyataan bersama Jawatankuasa Pendidikan PH dan parti-parti pembangkang, PSP yang dimulakan secara rintis di beberapa buah sekolah melibatkan 6,303 murid pada 27 Ogos sehingga 22 November 2019 harus menjadi asas pelaksanaan program berkenaan dengan lebih meluas di seluruh negara.
"(Fakta lalu), hampir 70% murid tidak mengambil sarapan pagi pada hari persekolahan sebelum berlakunya pandemik Covid-19 kerana pelbagai faktor. Keadaan menjadi semakin serius selepas terletusnya pandemik dan ketika sekolah sudah mula dibuka kembali.
"PSP ini boleh membantu 3 golongan sasar yang mendapat manfaat secara langsung melalui program tersebut iaitu murid-murid, ibu bapa dan juga pengusaha kantin," kata kenyataan tersebut.
Jawatankuasa Pendidikan PH berharap PSP akan menjadi sebuah program intervensi untuk memastikan semua murid mendapat sarapan berkhasiat sepanjang tahun tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi mereka.
Mereka juga berharap PSP menyumbang kepada penyelesaian pelbagai masalah malnutrisi dalam kalangan pelajar seperti yang didedahkan dalam Laporan Kanak-kanak Pinggiran oleh Unicef DM Analytics (Februari 2018), Laporan Memahami Pemakanan Sekolah di Malaysia oleh Khazanah Research Institute (KRI) (Februari 2020), Laporan Keluarga di Pinggiran Isu 1, Kesan Langsung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Unicef & UNFPA (Ogos 2020), Laporan Analisis Situasi Wanita dan Kanak-kanak di Malaysia 2020 oleh Unicef (September 2020) dan Laporan Keluarga di Pinggiran Isu 2 serta Laporan Bagaimana Mereka Selepas PKP akibat pandemik oleh Unicef dan UNFPA (Oktober 2020).
"PSP ini akan memberi manfaat kepada lebih dari 2.4 juta keluarga miskin di seluruh negara yang sebahagiannya adalah warga M40 yang hari ini telah jatuh menjadi warga B40 akibat pandemik ini.
"Manakala 70,000 pengusaha kantin pula akan mendapat kelegaan kerana mereka ini kebanyakannya hanya bergantung kepada penjualan makanan kepada murid sekolah sebagai punca pendapatan utama.
"PH dan parti-parti dari blok pembangkang amat berharap saranan ini dipertimbang sewajarnya," kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Ahli-ahli Parlimen PH dan pimpinan parti pembangkang seperti UPKO, MUDA, Pejuang dan Parti Sarawak Bersatu.
コメント