Terus Julang Red Giants
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 3 min read

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) atau lebih dikenali sebagai Red Giants memulakan saingan pada tahun 2025 dengan langkah bergaya apabila berjaya menempatkan diri sebagai naib juara Liga Super, meraih slot ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) serta merangkul Piala Cabaran.
Tahun 2025 menjadi lebih manis kepada Red Giants apabila kejayaan menjulang Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah menjadi titik tolak untuk menamatkan kemarau trofi hampir sedekad lamanya, trofi terakhir yang pernah dijulang oleh pasukan Red Giants sebelum ini adalah Piala Malaysia 2015.
Menyedari kelemahan serangan yang membantut peluang Red Giants untuk menempatkan diri ke tangga pertama dalam saingan liga sebelum ini, Selangor FC telah bersedia memecah tabung untuk meminjam bisa pemain import berkaliber. Ketua Jurulatih baru Selangor FC, Katsuhito Kinoshi memaklumkan bahawa intaian telah dibuat terhadap beberapa pemain dari Eropah, Amerika Selatan, Asia Tenggara dan Jepun.
Khabar angin kuat menyatakan bahawa Eliano Reijnders (pemain kebangsaan Indonesia) dan Juanpi Anor (pemain kebangsaan Venezuela) adalah antara buruan utama Red Giants. Namun usaha tersebut memerlukan pelaburan tinggi bagi memikat kehadiran pemain yang sedang diintai menyertai Red Giants.
Masalah stadium sepi
Namun disebalik usaha bersungguh-sungguh pengurusan Red Giants meningkatkan tahap pencapaian pasukan untuk tahun 2025, sokongan daripada ‘pemain ke-12’ semakin suram di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Kehadiran penyokong Red Giants ke stadium untuk memberi sokongan direkodkan merosot menjelang penghujung siangan liga musim 2024/ 2025.
Kehadiran penyokong Red Giants sebelum ini ke Stadium MBPJ yang mencecah purata sehingga 8,000 orang menurun kepada 3,000 orang. Isu ‘stadium sepi’ telah memberi kesan kepada kestabilan struktur kewangan Red Giant bagi meneruskan saingan liga akan datang.
Red Giants terpaksa melepaskan beberapa tonggak utama bagi mengatasi masalah kewangan tersebut. Antara pemain tonggak yang disahkan akan meninggalkan Red Giants untuk saingan liga musim akan datang adalah Ronnie Fernandez, Yohandry Orozco, Ali Olwan dan Safuwan Baharudin. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan sekiranya Red Giants ingin meninggalkan impak dalam saingan ACL2 yang bakal bermula tidak lama lagi.
Tingkatkan kehadiran penyokong
Usaha untuk meningkatkan kehadiran penyokong Red Giants ke stadium telah dilakukan secara agresif semenjak tahun 2024. Walaupun Kerajaan Madani Selangor terpaksa mengurangkan kapasiti penonton kerana proses naiktaraf Stadium MBPJ mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan, namun harga tiket tetap dikekalkan pada kadar sedia ada bagi mengelakkan kemerosotan jualan tiket.
Usaha turut dilakukan oleh Kerajaan Madani Selangor dengan melancarkan kempen tiket percuma kepada penonton terpilih. Salah satu kempen tersebut mengkehendaki penyokong hadir menyaksikan perlawanan Red Giants dengan syarat berpakaian tradisional sempena meraikan kemeriahan sambutan Aidilfitri.
Korban kewangan sokong Red Giants
Namun usaha dan inisiatif yang diusahakan oleh Kerajaan Madani Selangor pasti ada batasan akibat kekangan dana. Justeru kesediaan seluruh rakyat Negeri Selangor untuk berkorban masa dan kewangan adalah ditagih bagi memastikan Red Giants dapat kembali mengukuh dan memberi saingan menjelang musim mendatang.
Red Giants sangat kaya dengan sejarah dan tradisi tersendiri, rekod membuktikan hanya Red Giants berjaya merangkul Piala Malaysia sebanyak 33 kali dan memenangi Liga Super Malaysia sebanyak 6 kali. Setelah hampir sedekad kegersangan, tahun 2025 Red Giants menunjukkan bibit kebangkitan dengan memenangi sebuah piala.
Momentum ini sukar untuk dikekalkan sekiranya masalah kewangan pengurusan Red Giants. Menjadi tanggungjawab setiap rakyat Negeri Selangor yang cintakan pasukan keramat ini untuk bersama-sama Kerajaan Madani Selangor berkorban semampu boleh bagi memastikan kestabilan struktur kewangan Red Giants kembali mengukuh melalui kehadiran ke setiap perlawanan terutama melibatkan Stadium MBPJ.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor