Terputus bekalan: Pengezonan minyak masak bersubsidi diperluas
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 1 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluas sistem pengezonan (zoning) minyak masak paket bersubsidi ke seluruh negara.
Timbalan Menterinya Dr Fuziah Salleh berkata, langkah itu bagi memastikan bekalan sampai kepada pengguna selain memastikan tidak berlaku insiden bekalan minyak masak bersubsidi terputus.
"Sistem pengezonan (zoning) minyak masak paket bersubsidi ini kita sudah mulakan di Sabah dan Sarawak dan ianya berkesan.
"Menerusi pengezonan pengedaran minyak masak paket bersubsidi itu, pembungkus diwajibkan mengagihkan kuota kepada peruncit yang sudah dikenal pasti dan disenaraikan kementerian dan tidak lagi boleh mengedarkan minyak masak paket bersubsidi kepada pihak lain," katanya dipetik.
Beliau turut memaklumkan Johor akan memulakan pengedaran minyak masak paket bersubsidi secara pengezonan mulai hari ini.
"Sistem pengezonan minyak masak paket bersubsidi untuk Johor akan membabitkan 3,112 metrik tan kuota minyak masak paket bersubsidi. 19 syarikat pembungkus dengan lokasi point of sales (POS) sudah dikenal pasti.
"Kita akan nilai sistem pengezonan di Johor dan lihat semula sama ada jumlahnya perlu ditambah atau tidak," tambahnya.
Sementara itu sebagai mengulas isu bekalan yang sering terputus sebelum ini beliau menegaskan, ia berikutan pengedaran dan pengagihan yang dilakukan tidak dikoordinasi secara berkesan.
"Sebelum ini pembungkus boleh jual kepada sesiapa sahaja janji habis, namun menerusi sistem pengezonan ini pembungkus wajib mengedarkan kepada peruncit yang sudah dikenal pasti kementerian mengikut kawasan.
"Insya-Allah dengan sistem pengezonan, isu terputus bekalan minyak masak paket bersubsidi akan dapat diatasi," tambahnya.
Comments