top of page

“Terima kasih beri ruang saya berkhidmat lapan tahun” - Tok Min

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 3 hours ago
  • 2 min read
Tok Min (dua dari kiri) berterima kasih menyokongnya selama lapan tahun sebagai MB Negeri Sembilan
Tok Min (dua dari kiri) berterima kasih menyokongnya selama lapan tahun sebagai MB Negeri Sembilan

Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun atau Tok Min menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada rakyat Negeri Sembilan kerana memberi peluang kepadanya memimpin negeri itu selama lapan tahun, dan menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan hati yang terbuka.


"Saya bersyukur kepada rakyat kerana memberi peluang kepada saya selama lapan tahun berada di kerusi ini. Mungkin report card saya masih kurang lagi dan mereka merasakan ia tidak cukup elok, jadi hari ini mereka telah membuat keputusan.


"Dalam politik ini biasa, ada kalah dan ada menang. Saya terima keputusan ini dengan hati yang terbuka," katanya pada sidang media Pakatan Harapan selepas keputusan PRN Negeri Sembilan di sini, malam tadi.


Walaupun tewas, Aminuddin yang lebih dikenali sebagai Tok Min menegaskan beliau tidak pernah menyesal dengan perjuangan politik yang dibawanya kerana baginya kejayaan sebenar adalah usaha mendidik rakyat supaya menilai prestasi pentadbiran dan pembangunan, bukan lagi terikat dengan sentimen perkauman.


"Saya tidak pernah menyesal. Yang penting bagi saya ialah mendidik anak bangsa supaya berubah daripada pemikiran yang hanya mementingkan kaum kepada melihat prestasi dan apa yang boleh dilakukan untuk masyarakat.


"Kalah atau menang bukan ukuran utama. Saya bersyukur kerana dapat menyumbang kepada perubahan cara berfikir sebahagian rakyat," katanya.


Beliau turut menyeru pentadbiran baharu supaya meneruskan segala dasar yang memberi manfaat kepada rakyat demi memastikan pembangunan negeri terus berjalan.


"Teruskan apa yang elok dan perbaiki apa yang lemah. Itulah budaya politik yang sihat. Saya juga lakukan perkara yang sama ketika mentadbir negeri dahulu, bukan mengubah semuanya secara menyeluruh," katanya.


Dalam masa sama, Aminuddin memberi jaminan bahawa wakil-wakil Pakatan Harapan yang memenangi 11 kerusi akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif serta terus memberikan khidmat kepada rakyat.


"Kita akan pastikan 11 kerusi yang kita ada berfungsi dengan baik. Walaupun bukan lagi kerajaan, kita akan terus menyentuh dan membantu rakyat serta memberikan khidmat yang termampu," katanya.


Mengulas mengenai masa depan parti, beliau yakin calon-calon muda yang diketengahkan pada PRN kali ini mempunyai potensi besar untuk menjadi pemimpin masa hadapan walaupun ada yang tewas.


"Saya nampak calon-calon yang saya ketengahkan kali ini adalah calon yang baik. Mereka boleh terus bekerja walaupun kalah dan saya yakin suatu hari nanti mereka akan berada dalam kelompok pemimpin terbaik," katanya.


Aminuddin turut menyifatkan kekalahan itu sebagai qada dan qadar Allah SWT serta percaya terdapat hikmah di sebaliknya, termasuk memberi ruang untuk beliau menyumbang kepada parti dalam kapasiti yang berbeza.


"Saya reda dengan apa yang berlaku. Insya-Allah ada hikmahnya. Mungkin ini peluang untuk saya meluangkan lebih masa bersama keluarga dan memikirkan bagaimana saya boleh terus membantu parti pada masa akan datang," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page