Ahli politik seharusnya dihormati tahap pemikiran, tindakan dan etikanya oleh masyarakat.
Bagaimanapun perbuatan segelintir ahli politik pembangkang yang sewenang wenangnya berkongsi maklumat di media sosial tanpa menyelidiki kebenaran terlebih dahulu merosakkan reputasi pemimpin politik lain yang sentiasa menjaga integriti.
Menurut Exco Wanita Keadilan, Noraziah Mohd Razit, insiden Facebook ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya kelmarin yang berkongsi poster kononnya Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok akan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) adalah contoh terbaharu betapa tidak bertanggungjawabnya propaganda pembangkang.
"Akibat tersebarnya fitnah ini, pihak Felda menafikan terdapat sebarang pelantikan baharu bagi jawatan pengerusi yang kosong berkuatkuasa 30 Jun.
"Suka saya ingatkan bahawa strategi kempen dengan membuat kenyataan palsu propaganda yang berbentuk serangan bertujuan mewujudkan kebencian adalah salah dari segi undang-undang.
"Isu fitnah di media sosial ini perlu diatasi dengan segera kerana impaknya sangat besar kepada semua golongan. Langkah bijak perlu diambil bagi membendung dan mengatasi budaya fitnah ini," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Noraziah mencadangkan agar kerajaan mewujudkan badan khas bagi menyelenggara atau menapis segala paparan di media sosial.
Penubuhan badan khas itu, katanya, bagi mengelakkan media sosial daripada terus disalahguna untuk menyebarkan fitnah dan tohmahan.
"Selain itu, undang-undang juga perlu dikuatkuasakan dengan lebih ketat dan berkesan.
"Undang-undang tersebut bukan sekadar menyediakan hukuman berat terhadap penfitnah malah mampu untuk mendidik orang lain agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita tidak benar kerana impaknya amatlah besar. Bak kata pepatah “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa"," katanya lagi.
Semalam, ADUN Kubu Gajah Khalil Yahaya memohon maaf selepas laman Facebooknya berkongsi dakwaan yang Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dilantik sebagai pengerusi Felda menggantikan Idris Jusoh.
"Permohonan maaf secara terbuka - hantaran tadi bukanlah dari pihak Adun tetapi admin yang mengelola laman," kata ADUN Pas itu di Facebooknya.
Comentarios