UEC: Kerajaan ambil pendekatan terbuka, sederhana tangani isu pendidikan
- Suara Keadilan

- May 15
- 2 min read

Keputusan Kerajaan MADANI membenarkan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menjadi satu lagi langkah penting reformasi pendidikan negara yang mengangkat prinsip keadilan, keterangkuman dan perpaduan nasional.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keputusan tersebut telah diputuskan secara rasmi oleh Jemaah Menteri dan tidak wajar dijadikan bahan polemik politik oleh mana-mana pihak.
"Dunia sekarang, semuanya nak kaitkan dengan politik. [Sedangkan] Kenyataan telah dikeluarkan semalam (Khamis) bahawa Kabinet bersetuju dengan syarat pemegang UEC perlu lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah," katanya dipetik ketika ditemui media selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di Seremban hari ini.
Perdana Menteri menegaskan syarat tersebut bukan hanya dikenakan kepada pemegang UEC, sebaliknya turut terpakai kepada semua pelajar daripada aliran pendidikan lain di luar sistem arus perdana kebangsaan.
"Ini bukannya terpakai kepada UEC sahaja, tetapi sekolah Arab, menengah, tahfiz dan sebagainya, semua syarat sama, termasuk sekolah antarabangsa melibatkan pelajar Malaysia," jelasnya lagi.
Anwar berkata kerajaan mengambil pendekatan terbuka dan sederhana dalam menangani isu pendidikan pelbagai aliran, termasuk mengiktiraf realiti sistem pendidikan sedia ada di negara ini tanpa mengabaikan asas kenegaraan.
"Jadi, kita beri ruang walaupun mungkin memerlukan beberapa kursus perguruan kerana sebelum ini perkara itu tidak dipersetujui. Namun, apabila sekolah-sekolah Cina menerima syarat tersebut, kita turut menerimanya dengan baik," ujar beliau.
Keputusan itu dibuat selepas sekian lama isu pengiktirafan laluan lepasan UEC ke IPTA menjadi perdebatan nasional yang sering dipolitikkan oleh pelbagai pihak.
Sebelum ini, pelajar lepasan SMPC dan UEC kebanyakannya hanya mempunyai pilihan melanjutkan pengajian ke institusi swasta atau universiti luar negara kerana tiada laluan rasmi yang jelas ke IPTA.
Bagaimanapun, Kerajaan MADANI mengambil pendekatan lebih inklusif dengan menetapkan syarat asas yang sama kepada semua pelajar Malaysia tanpa mengira aliran pendidikan.
Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi memaklumkan bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju dengan beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan sekolah atau institusi di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Menurut kementerian itu, ketetapan tersebut melibatkan pelajar daripada sekolah tahfiz, sekolah swasta, sekolah antarabangsa serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).
Langkah berkenaan dilihat sebagai sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan Kerajaan MADANI yang menekankan merit, akses pendidikan berkualiti dan pembinaan masyarakat majmuk yang lebih bersatu.
Bagaimanapun, Anwar menjelaskan kerajaan masih memperincikan butiran berhubung keputusan membenarkan pelajar lepasan SMPC atau UEC melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini.
Semalam media tempatan melaporkan, calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Bagi calon lepasan SMPC/UEC, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Mesyuarat Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa calon daripada aliran terbabit yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui KPM boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program tertentu di IPTA.
Semua permohonan akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada ketetapan dan keputusan Senat Universiti.




Comments