
Dakwaan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganaktirikan empat negeri ditadbir pembangkang disifatkan penganalisis politik sebagai tuduhan tidak berasas.
Mereka menyifatkan pentadbiran Anwar telah meletakkan kepentingan rakyat termasuk di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu sebagai keutamaan selaras semangat gagasan Malaysia MADANI dibawanya.
Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata komitmen kerajaan dilaksanakan tanpa berat sebelah bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat sentiasa didahulukan.
"Kerajaan Persekutuan sentiasa berusaha membina hubungan baik dengan kerajaan negeri yang diterajui pembangkang dengan niat untuk memastikan nasib rakyat akan terus dapat dipelihara dan mereka dapat menikmati pelbagai faedah.
"Perlu ditekankan peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bukanlah (untuk) tujuan politik, sebaliknya demi kepentingan rakyat contohnya apa juga isu yang berbangkit tentang pembangunan, malapetaka (dan) pendidikan pasti diberikan bantuan tanpa menilai negeri tersebut ditadbir oleh siapa," kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM dipetik Bernama.
Beliau turut memberi contoh bahawa Kerajaan Persekutuan pernah mengumumkan bantuan segera sebanyak RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu yang dilanda banjir teruk pada Disember tahun lepas.
"Malah, kerajaan juga bersetuju menambah projek Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Golok, Kelantan, berikutan masalah banjir yang sering dialami negeri di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN) itu," katanya menyangkal persepsi kononnya Presiden KEADILAN itu bersikap tidak adil.
Penganalisis politik daripada Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali pula berpandangan peruntukan yang diberikan kepada kerajaan negeri adalah bersesuaian dan rasional dengan keperluan semasa sesebuah negeri.

Jelasnya berdasarkan Belanjawan 2023 juga, setiap kerajaan negeri mendapat bajet mengikut keperluan, adil dan tiada unsur pengabaian terhadap mana-mana negeri termasuk yang diterajui pembangkang.
"Naratif yang mengatakan bahawa kerajaan pusat menganaktirikan negeri pembangkang hanya cakap-cakap politik dan tidak berdasarkan data sebenar.
"Kalau ikut fakta Belanjawan 2023, peruntukan untuk negeri-negeri termasuk pembangkang ditambah dan bantuan kepada rakyat sudah terangkum walaupun tidak disalurkan terus kepada wakil rakyat di sesebuah kawasan," katanya menurut laporan sama.