Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diketuai oleh Menteri Umno-BN, Tan Sri Annuar Musa boleh dianggap gagal kerana setelah 3 bulan tempoh percubaan inflasi di Malaysia kekal tinggi.
Bagi Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Chua Wei Kiat, pasukan tersebut kini malah dilihat rakyat sebagai 'makan gaji buta' dan tidak melaksanakan peranan mereka secara bersungguh sungguh.
Katanya, jika pasukan itu diberi tempoh percubaan untuk bekerja maka mereka tidak akan dilantik kerana tiada kemampuan.
"Biasanya budak "Intern" (pelatih) akan diberi waktu 3 bulan untuk membuktikan kemampuan diri dalam melaksanakan sesuatu tugas yang diberi, namun malangnya pasukan yang diketuai oleh Annuar Musa sejak akhir bulan Jun ini jelas gagal menjalankan tugas, maka dia tidak perlu bermain Tai Chi untuk menutup kegagalan beliau lagi.
"Perdana Menteri Umno Ismail Sabri 3 bulan lepas telah menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi namun apa yang rakyat dapat?
"Inflasi pada bulan Jun dan Julai 2022 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 3.4 dan 4.4% berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya," kata beliau dalam kenyataan.
Menurut Chua lagi, rakyat tidak puas hati dengan penjelasan Annuar bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM) dan tiada kaitan dengan Pasukan Jihad..
Katanya, secara teknikal kenyataan itu betul, tetapi logiknya salah. Rakyat mengetahui kenaikan OPR adalah salah satu faktor yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup terutamanya kenaikan harga barang.
Malah kata beliau, jawatankuasa itu seperti tidak faham apa yang harus dilakukan dengan lebih menumpukan kepada membuat jualan murah berbanding mengawal harga di peringkat pengeluar.
"Dalam waktu beberapa bulan ini, usaha yang dijalankan oleh Annuar lebih kepada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia, jaminan bekalan ayam bagi pengguna domestik yang mencukupi, serta sasarkan harga minyak masak turun.
"Bagi saya, program bekalan dan harga minyak masak adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia. Hal ini juga membuktikan pasukan jihad pimpinan Annuar Musa tidak membawa sebarang nilai tambah kepada rakyat Malaysia yang terkesan," katanya lagi.
Justeru, beliau menggesa rakyat Malaysia melantik pemimpin yang lebih bijaksana dalam mengawal inflasi dalam pilihan raya akan datang, manakala pasukan jihad tangani inflasi boleh dibubarkan sahaja.
"Rakyat sudah melalui zaman kerajaan PN-BN yang gagal di bawah pimpinan Muhyiddin, jadi tiada keperluan untuk rakyat mengalami zaman mengecewakan di bawah kerajaan BN-PN 2.0 ini.
"Oleh itu, pasukan Jihad ini harus dibubarkan serta merta dan kerajaan perlu bertanggungjawab atas kelemahan dan kegagalan mereka dalam menangani isu ini," katanya.
コメント