Telaah Cilik: Usaha Biro Pendidikan Wanita KEADILAN semai budaya ilmu
- Suara Keadilan
- 12 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN Pusat telah melancarkan inisiatif baharu ‘Telaah Cilik’ sebagai komitmennya untuk membantu meningkatkan tahap literasi nasional di kalangan kanak-kanak sekaligus membina masyarakat Malaysia yang berilmu.
Program yang dilancarkan di Al Riyadah Residence, Kuala Nerus minggu lalu disertai Ketua Wanita KEADILAN Pusat merangkap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang turut meluangkan masa membaca buku cerita When I’m a Teacher kepada sekumpulan kanak-kanak.
Menerusi satu kenyataan, Biro Pendidikan Wanita KEADILAN Pusat memaklumkan, acara berlangsung dalam suasana santai dan penuh ceria dengan anak-anak teruja dan aktif mengambil bahagian.
"Program ini turut menyaksikan penglibatan ibu bapa, sukarelawan dan aktivis pendidikan setempat, serta diiringi aktiviti bercerita, pembacaan bersama dan perkongsian buku dalam suasana mesra komuniti.
"Wanita KEADILAN percaya, dengan mendekatkan anak-anak kepada buku, kita sedang membina asas kepada masyarakat berilmu dan progresif.
"Minat membaca boleh disemai jika kita menyediakan ruang dan galakan yang sesuai sejak awal usia,” kata Ketua Biro Pendidikan, Armila Alias.
Susulan kejayaan program tersebut, Wanita KEADILAN kini merancang meneruskan siri jelajah Telaah Cilik ke lokasi-lokasi lain bagi memupuk minat membaca, seiring dengan agenda Malaysia MADANI yang diterajui oleh Perdana Menteri, Dutuk Seri Anwar Ibrahim.
Fadhlina dalam satu hantaran di laman Facebooknya menyampaikan ucapan penghargaan kepada usaha Biro Pendidikan Wanita KEADILAN yang tampil dengan inisiatif tersebut.
"Syabas kepada Biro Pendidikan Wanita KEADILAN atas penganjuran program ini. Ia sangat bermakna kerana memberi ruang kepada anak-anak kecil untuk mendekati dunia buku sejak awal, dengan sokongan ibu bapa, terutamanya kaum ibu," ujarnya.
Comentarios