TEKUN Nasional lancar program Wanita KASEH, tawar pembiayaan, latihan
- Suara Keadilan

- Aug 30
- 1 min read

Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional terus melaksana pelbagai inisiatif bantuan kepada rakyat khususnya daripada kalangan B40 dan M40 untuk menceburi bidang keusahawanan.
Sehubungan itu, satu program baharu Wanita KASEH telah dilancarkan bertujuan memperkukuh peranan agensi itu sebagai pemangkin pembangunan usahawan mikro terutama membabitkan golongan wanita.
"Program ini bukan sekadar menyediakan pembiayaan mikro, tetapi turut merangkumi latihan keusahawanan, bimbingan dan konsep mentor bagi membina keupayaan serta daya tahan usahawan wanita.
"Diharapkan, program ini akan menjadi pencetus kepada lebih ramai wanita untuk berjaya sebagai usahawan, menyumbang kepada ekonomi negara dan menjadi agen perubahan dalam masyarakat," kata Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (gambar) pada majlis perasmian program itu semalam.
Program dirasmikan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dataran Pantai Morib sempena Karnival TEKUN MADANI Morib semalam.
Pada majlis itu Dr Wan Azizah turut menyampaikan pembiayaan berjumlah RM337,000 kepada lapan penerima daripada TEKUN Cawangan Kuala Langat dan Sepang melalui lima skim pembiayaan.
Sementara itu menurut Abdullah Sani, sejak ditubuhkan pada 1998, agensi itu telah menyalurkan RM10.5 bilion kepada 602,059 usahawan di seluruh negara, dengan Selangor sahaja menerima RM1.4 bilion membabitkan 81,038 usahawan.
"Bagi tahun 2025 sahaja (setakat Julai), TEKUN telah menyalurkan RM583 juta kepada 22,392 usahawan di seluruh negara, termasuk RM66 juta kepada 2,684 usahawan di Selangor.
"Daripada jumlah keseluruhan itu, RM4.9 bilion disalurkan kepada 474,314 usahawan wanita, sekaligus membuktikan sokongan signifikan TEKUN terhadap wanita dalam bidang keusahawanan," katanya.









Comments