Teknologi digital: Selangor tidak tunggu masa depan, bina sekarang - Gobind
- Suara Keadilan
- Jul 4
- 1 min read

Menteri Digital, Gobind Singh Deo (gambar) memuji pendekatan proaktif Kerajaan Negeri Selangor yang sentiasa berusaha memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai peneraju ekonomi digital negara.
Beliau berkata inisiatif seperti Malaysia Semiconductor IC Design Park dan Akademi Semikonduktor Lanjutan Malaysia (Asem) membuktikan kesungguhan Selangor menghadapi gelombang teknologi masa depan termasuk kecerdasan buatan (AI), bioteknologi, mobiliti pintar dan kelestarian.
"Teknologi bukan sekadar kata kunci global. Malaysia mesti menguasainya untuk membina industri masa depan.
"Selangor tidak menunggu masa depan… sebaliknya membinanya dan membawa semua pihak bersama," katanya dipetik dalam ucapan perasmian Program Pemecut Berkembar Selangor (Selangor Twin Accelerator Programme) di Kuala Lumpur pada Khamis.
Program tersebut menggabungkan dua komponen utama: Retail Tech Accelerator (Retail-X) dan Deep Tech Accelerator (Deep-X).
Retail-X merupakan program kerjasama strategik dua hala bersama syarikat seperti TikTok Shop, Plug & Play APAC, Xendit, Shopline, AEON, Cradle dan DHL, bagi membantu PKS berkembang serta bersaing dalam pasaran digital.
Manakala Deep-X memberi tumpuan kepada pembangunan syarikat pemula (startup) berasaskan teknologi mendalam (deep tech) dalam bidang seperti Kecerdasan Buatan (AI), kejuruteraan lanjutan, sains data, mobiliti pintar, bioteknologi dan kelestarian.
"Program ini mencerminkan kepercayaan pentadbiran Negeri Selangor bahawa inovasi mesti inklusif dan disokong dengan akses sebenar, peluang sebenar serta sokongan nyata," tambahnya.
Gobind sementara itu memaklumkan, bahawa di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kementerian Digital kini sedang merangka polisi lebih lancar, menghapuskan halangan birokrasi dan menyediakan ekosistem inovasi dengan segala keperluan.
Beliau turut menggalakkan negeri-negeri lain supaya melaksanakan program pecutan yang serupa bagi merancakkan pertumbuhan syarikat pemula dan pembangunan bakat dalam pelbagai kluster serta industri.
Comments