top of page

Teknologi AI: Kerajaan pastikan boleh dicapai, mampu diguna rakyat - Gobind

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Gobind menjelaskan mengenai perkembangan  teknologi AI di Dewan Rakyat
Gobind menjelaskan mengenai perkembangan teknologi AI di Dewan Rakyat

Oleh: Akmal Manaf


Kerajaan menegaskan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) perlu disertai dengan pengukuhan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta galakan strategik bagi memastikan teknologi baharu itu memberi kesan sebenar kepada masyarakat dan ekonomi negara.


Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, antara persoalan utama masyarakat ketika ini ialah kesan teknologi baharu terhadap kehidupan seharian.


"Jadi sementara kita bincang berkaitan dengan jumlah pelaburan yang diperlukan, mewujudkan pusat data dan sebagainya.. ramai yang tertanya-tanya adakah ianya berbaloi dari sudut keberkesanannya.


"Pertama kita lihat kepada aspek kebolehcapaian (accessibility). Kita nak pastikan bahawa kita mempunyai masyarakat yang boleh akses kepada teknologi baharu ini supaya mereka tidak terpinggir dan sentiasa tahu dan dapat menggunakannya.


"Kemudian kita kena lihat kepada aspek keterjangkauan kos (affordbility). Kita tidak mahu kita ada keadaan teknologi baharu, tapi masyarakat di luar sana melihat bahawa teknologi itu terlalu mahal, kita lihat kepada (golongan) SME kalau (mereka) nak gunakan teknologi, kalau terlalu mahal ianya menjadi masalah.


"Jadi kita kena lihat bagaimana kita pastikan bahawa ianya merupakan sesuatu yang dapat diguna pakai oleh setiap masyarakat dengan mengambil kira kosnya," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail [PN-Kubang Pasu] tentang bagaimana kementerian dapat memastikan usaha digitalisasi tidak melebarkan ketidaksamaan sosial terutamanya dari segi akses kemampuan.


Menjelaskan lebih lanjut, Gobind berkata aspek ketiga yang diambil kira oleh pihak kerajaan ialah keupayaan seperti pengukuran daripada segi tahap literasi dan kemahiran digital serta bakat digital termasuk lepasan dan pekerja dalam bidang teknologi maklumat.


"Ini sangat penting (kerana) kalau kita ada teknologi, ada akses kepadanya (dan) ianya berkos rendah serta dapat digunakan oleh setiap masyarakat, (maka) kita kena pastikan bakat yang diperlukan untuk kita menggunakan teknologi itu juga sedia wujud supaya ia dapat digunakan untuk kebaikan semua.


"Keempat tentang aspek relevan. Kita kena pastikan bahawa teknologi yang diperlukan dalam sektor-sektor tertentu dapat kita salurkan kepada sektor-sektor berkenaan supaya kesan itu dapat dirasai oleh sektor tersebut.


"Di pihak kerajaan, kalau teknologi itu wujud, kita kena pastikan ia dapat disalurkan kepada sektor yang memerlukan teknologi berkenaan, sekali gus memperkasakan sektor tersebut.


"Akhir sekali kita lihat kepada aspek kesediaan. Ini sangat penting, kalau kita ada semua teknologi yang baharu, kos rendah, ada bakat dan sebagainya, kita kena pastikan bahawa masyarakat bersedia untuk menggunakan teknologi tersebut," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page