Tekad penuhi iltizam Agong: Tadbir urus baik, naik taraf hidup rakyat
- Suara Keadilan
- Jan 31, 2024
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Kerajaan Madani menyokong sepenuhnya titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang ingin melihat negara ini meneruskan urus tadbir baik, memacu ekonomi dan menaik taraf hidup rakyat.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan meneruskan tekad dalam memenuhi iltizam baginda serta berusaha membawa Malaysia mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi.
"Ini juga merupakan hasrat jutaan rakyat yang ingin terus melihat kestabilan negara bagi mencetuskan kemakmuran, peluang dan masa depan yang lebih baik untuk semua," katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Fahmi yanag juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kerajaan turut memanjatkan kesyukuran dan senada dengan rakyat menjunjung kasih di atas pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Sesungguhnya pandangan jauh lagi berwawasan telah dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 menerusi peranan penting baginda sebagai Raja Berpelembagaan telah membawa kepada kestabilan politik, sosial dan ekonomi seperti yang kita nikmati pada hari ini.
"Oleh itu, marilah kita bersama-sama meraikan permulaan tampuk pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim," katanya.
Pagi tadi Sultan Ibrahim mengangkat sumpah dan menandatangani surat pengisytiharan sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara manakala Sultan Perak Sultan Nazrin Muizuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 oleh Majlis Raja-Raja bagi menggantikan Sultan Abdullah yang tamat tampuk pemerintahannya semalam.
Comments